Pelajar warga asing disamun, kena pukul

Abd Rahim
Abd Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar warga asing di sebuah universiti awam Kuala Nerus bukan sahaja diugut, tetapi juga dipukul dan disamun lelaki tidak dikenali ketika dia dalam perjalanan menunaikan solat Jumaat, Jumaat lalu.

Sebelum kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, pelajar warga Bangladesh berusia 27 tahun itu menaiki motosikal ke sebuah masjid sebelum ditahan oleh seorang lelaki warga Myanmar tidak dikenali.

Sumber berkata, selepas ditahan, suspek mengarahkan mangsa membawanya ke sebuah kawasan hutan berhampiran pantai di universiti itu.

"Mangsa tidak melawan dan hanya mengikut arahan suspek sehingga tiba di kawasan dimaksudkan dan mendapati terdapat dua lelaki tidak dikenali sedang menunggu di dalam sebuah kereta Proton Wira.

"Tanpa semena-mena mangsa terus dipukul dan kemudian ditarik masuk ke dalam kereta. Ketika di dalam kereta, mangsa dipukul berkali-kali sehingga dia menjerit kesakitan.

"Suspek yang bimbang mangsa membuat bising kemudian mengugut pelajar itu dengan menunjukkan isyarat potong kepala dan sekali lagi memukul mangsa dengan playar," katanya.

Menurut sumber, suspek kemudian bertindak lebih agresif apabila menutup kepala mangsa dan mengikat tangannya sebelum membawa pelajar itu ke sebuah destinasi tidak diketahui.

"Pelajar berkenaan bernasib baik kerana berjaya melepaskan diri kira-kira jam 8.30 pagi Sabtu selepas memberi nombor pin kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada suspek.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian melarikan diri ke Balai Polis Machang, Kelantan dalam keadaan beg duit mengandungi kad imigresen, wang tunai RM450, tiga kad ATM, beberapa dokumen penting serta dua telefon bimbit miliknya dilarikan suspek.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di muka, kepala, tangan dan seluruh badan membuat laporan di Balai Polis Machang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abd Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan berkata polis sedang mengesan suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.