Pinda Perlembagaan UMNO

A
A

UMNO bercadang mahu mengadakan pindaan Perlembagaannya dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO pada 13 hingga 16 November 2019 akan datang. Khabar angin dari PWTC mengatakan pindaan itu adalah satu cubaan pemangku Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang sedang bercuti daripada tugas-tugas beliau. Adakah ini benar?

Tok Mat telah menafikan khabar angin itu. Malah, mengikut perancangan beliau, pindaan yang ingin dilakukan bertujuan supaya UMNO membuka pintu yang lebih luas kepada belia Melayu untuk memudahkan mereka menyertai UMNO.

UMNO mahu mempermudahkan proses pendaftaran keahliannya secara dalam talian sepenuhnya tidak lama lagi bagi menarik seramai mungkin belia Melayu menyertai UMNO. Sejujurnya, memang wajar untuk perkara ini dilakukan sebaik mungkin.

Berdasarkan pengalaman peribadi, biarpun ketika mendaftar sebagai ahli secara dalam talian sangat mudah, tetapi proses selepas pendaftaran itu lebih merumitkan.

Selepas didaftarkan, nama ahli akan diletakkan di bawah cawangan PWTC dan kemudian perlu mendapatkan sokongan daripada mana-mana ahli cawangan lain untuk nama ahli tersebut dimasukkan ke dalam cawangan tersebut. Ramai juga yang ditolak penerimaan masuk oleh ketua cawangan. Benar kata Tok Mat, “Kita tidak mahu jadi seperti dulu apabila ketua cawangan tak mahu terima ahli, sedangkan anak muda minat politik.”

Selain itu, UMNO juga bercadang mahu melakukan pindaan Perlembagaan bagi memberikan UMNO Sabah kuasa autonomi selari dengan perkembangan situasi politik semasa di negeri terbabit sekarang. Ini adalah satu tindakan yang bagus walaupun mempunyai risikonya yang tersendiri. Namun, sejauh manakah kuasa autonomi yang akan diberikan kepada UMNO Sabah? Khabarnya, UMNO Sabah bakal diberi kuasa penuh dan akan dapat membuat sebarang keputusan tanpa perlu merujuk UMNO Pusat terlebih dahulu.

Berbalik kepada khabar angin kononnya pindaan Perlembagaan UMNO dibuat untuk menyingkirkan mana-mana pemimpin UMNO yang mempunyai masalah di mahkamah, seandainya benar, ia adalah kurang demokratik. Pemimpin yang didakwa di mahkamah masih belum terbukti kesalahan beliau, tidak wajar untuk dihukum terlebih dahulu. Sebaiknya, jika UMNO hendak menghukum mana-mana pemimpinnya yang bermasalah, tindakan untuk digantung tugas sehingga selesai kes mahkamah adalah lebih baik.

Selain itu, adalah lebih baik jika UMNO turut memasukkan dalam Perlembagaan partinya untuk meletakkan had tempoh kepada mana-mana ahli yang dilantik menjadi Perdana Menteri (biasanya Presiden) kepada dua penggal sahaja. Langkah itu mampu untuk mengurangkan risiko salah guna kuasa oleh Perdana Menteri (yang datang dari UMNO) pada masa hadapan, apatah lagi dengan situasi yang berlaku hari ini, sudah tentu cukup untuk menjadi pengajaran kepada UMNO.

Urusan untuk meminda Perlembagaan UMNO bukan urusan yang mudah. Sebarang pindaan terhadap Perlembagaan UMNO memerlukan sokongan tidak kurang daripada dua pertiga ahli-ahli yang berhak hadir dalam Perhimpunan Agung Khas seperti yang termaktub dalam fasal 30.1 Perlembagaan UMNO.

Walau apa pun pindaan yang cuba dilakukan oleh UMNO, selagi mana ia bersifat untuk kembali membangunkan UMNO dan mengemaskini kekusutan dalaman UMNO, maka ia sewajarnya dilakukan dan perlu disokong oleh akar umbi UMNO.

Saya sendiri bersetuju dengan kata-kata Profesor Mohammad Agus Yusoff bahawa UMNO mungkin akan menjadi seperti parti Golkar di Indonesia yang kelihatan mendapat sokongan rakyat tetapi tidak mempunyai kuasa.

Jika UMNO tidak melakukan perubahan yang menyeluruh, sudah tentu UMNO hanya akan menjadi jaguh di dalam media sosial. Kononnya popular mendapat sokongan rakyat, tetapi sampai ke sudah langsung tidak diangkat oleh rakyat untuk kembali memimpin negara ini. Kita mengharapkan yang terbaik untuk UMNO dan semoga UMNO kembali pulih dan kembali bersih daripada segala kekotoran.Pemimpin yang didakwa di mahkamah masih belum terbukti kesalahan beliau."


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.