'30 tahun masih tak selesai'

Isa (tengah) turut sama dalam piket dianjurkan di Dewan Felda Bukit Easter semalam.
Isa (tengah) turut sama dalam piket dianjurkan di Dewan Felda Bukit Easter semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Peneroka di Gugusan Waha di sini iaitu Felda Bukit Easter, Felda Bukit Waha dan Felda Simpang Waha membuat piket secara aman meminta kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu air di kawasan berkenaan yang dialami sejak 30 tahun lalu.

Ketua Peneroka Felda Bukit Easter, Isa Adan, 61, berkata, masalah terputus bekalan air sering berlaku setiap kali musim perayaan dan kemarau.

"Sejak duduk di sini 30 tahun lebih, tiap-tiap tahun mesti kami berdepan masalah ini setiap kali musim kemarau, hari raya puasa dan hari raya korban sampaikan ada yang tak dapat mandi pada hari raya.

"Keadaan ini buatkan kami sekarang ini sudah hilang sabar. Sebagai penduduk kami harap agar pentadbiran kerajaan baru dapat bantu kami. Buatlah sesuatu yang lebih baik untuk rakyat di Felda ini dan bantu selesaikan perkara ini," katanya selepas turut sama menyertai piket dianjurkan di Dewan Felda Bukit Easter, semalam.

Ketua Peneroka Felda Bukit Waha, Ab Aziz A Bakar, 63, pula menyifatkan sistem bekalan air sedia ada masih terdapat kekurangan terutama daripada segi kemudahan tangki-tangki besar yang tidak mencukupi dan akan terjejas apabila perayaan.

Katanya, alasan penggunaan lebih dari penghantaran sudah tidak releven sebaliknya pihak berkenaan perlu merangka sesuatu bagi mengatasi masalah yang kian lama berlaku itu.

"Dulu memang ada peneroka sahaja, sekarang bertambah dengan bilangan anak cucu apabila balik raya.

"Lebih menyedihkan warga peneroka yang sudah berusia terpaksa angkut air setiap kali penghantaran lori air dilakukan di tepi jalan. Ada yang rumah di bawah bukit ada rumah di atas bukit.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga kesal bila musim perayaan keadaan bekalan air turut berubah, daripada terawat...air jadi keladak pula," katanya lagi.

Bagi Meserah Rasiban, 62, berkata, isu itu mendatangkan masalah besar bagi kaum wanita yang mana mengganggu aktiviti seperti memasak, membasuh dan sebagainya.

"Kami harap isu ini dapat diselesaikan segera. Sebab kami sebagai kaum ibu memang sentiasa perlukan air untuk uruskan aktiviti harian.

Bayangkanlah bila air tiada. Peritnya hanya kami yang rasa.

"Setiap kali musim perayaan anak-anak pun jadi serba salah nak balik kampung, sebab tak ada air. Lagi-lagi mereka yang ada anak kecil nak membasuh, mandi dan sebagainya jadi masalah," katanya.

Ketua Peneroka Felda Simpang Waha, Abdul Rahman Abban, 64, pula berkata, dia turut meletakkan hasrat yang sama agar masalah air yang sudah bertahun-tahun itu selesai di bawah pemerintahan kerajaan baharu pada hari ini.

Katanya, sebagai ketua peneroka dia kadang kala tidak tahu bagaimana untuk menjawab setiap persoalan daripada penduduk.

Mahu penyelesaian jangka masa panjang

Dalam pada itu, ADUN Sedili, Rasman Ithnain berkata, isu air di gugusan tersebut juga di kawasan DUN berkenaan termasuklah kampung tradisional telah diperjuangkan sejak beliau menjadi wakil rakyat pada tahun 2008.

Menurutnya, setiap tahun beliau akan membawa perkara itu dalam dewan negeri kerana penduduk setiap tahun mengeluh apabila masalah air berlaku.

"Tak dapat dinafikan SAJ (Syarikat Air Johor) memang ada buat sesuatu bagi bekalan air bersih pakai lori, ada buat pengorekan anak sungai untuk pastikan air ada tetapi itu jangka pendek yang kita mahukan jangka panjang supaya isu ini tidak berulang.

"Segala kos pelan jangka pendek yang telah dilakukan kita dapati jika dicampurkan kos itu semua boleh membawa solusi jangka panjang.

"Lebih penting lagi apabila kerajaan negeri sudah meluluskan lot rumah generasi kedua Felda di sini apabila ada penempatan baharu nanti bagaimana masalah air ini akan selesai jika plan jangka panjang tidak dilakukan segera,"katanya kepada Sinar Harian.

Justeru itu katanya, apa diharapkan kerajaan negeri akan mengambil serius isu bekalan air bersih ini kerana ia adalah keperluan asas bagi penduduk.