AES ragut 129 nyawa kanak-kanak di Bihar

Kanak-kanak yang mengidap Sindrom Encefilitis Akut (AES) dirawat di Hospital Kejriwal di Muzaffarpur.
Kanak-kanak yang mengidap Sindrom Encefilitis Akut (AES) dirawat di Hospital Kejriwal di Muzaffarpur.
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 129 kanak-kanak meninggal dunia akibat Sindrom Encefilitis Akut (AES) di bandar Muzaffarpur di negeri Bihar sejak penularan wabak itu awal bulan ini, kata pegawai kesihatan semalam.

Menerusi laporan Reuters, angka kematian akibat demam yang menjejaskan sistem saraf pusat itu bertambah dari 97 yang dilaporkan Isnin lalu dan pegawai perubatan dan kerajaan berhadapan kritikan memuncak kerana gagal menangani krisis di bandar yang dihuni hampir 350,000 penduduk itu.

AES dikenali sebagai ‘demam otak’ disebabkan mana-mana satu daripada beberapa jenis virus.

Gejalanya termasuk demam panas, muntah dan dalam kes lebih teruk mangsa diserang sawan, lumpuh dan koma.

Bayi dan warga emas adalah golongan paling terdedah kepada penyakit itu.

“Laporan terkini yang diterima, 129 kanak-kanak maut setakat ini,” kata pegawai perubatan di Muzaffarpur, Shailesh Prasad Singh.

Punca sebenar AES tidak diketahui, walaupun majoriti pakar perubatan berkata ia ada kaitan dengan gelombang kepanasan melampau.

Sebahagian kajian menyalahkan toksik dalam laici, buah yang banyak ditaman di ladang seluruh Muzaffarpur.

Artikel Berkaitan:

Namun kebanyakan keluarga mangsa memberitahu anak mereka tidak makan buah itu sejak beberapa minggu lalu.

Beliau berkata, sepasukan pakar termasuk doktor, paramedik dan pegawai kerajaan lain bekerja tanpa henti untuk membendung AES, yang mengorbankan lebih 350 kanak-kanak dalam penularan pada 2014 di Bihar sebelum ini.