PPIM sambut baik pengambilalihan tol kurangkan beban pengguna

Datuk Nadzim Johan
Datuk Nadzim Johan
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyambut baik usaha kerajaan untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya bertol yang akan memberikan kesan positif kepada pengguna terutama dalam meringankan beban kos sara hidup.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, ia sememangnya satu usaha yang perlu untuk dilaksanakan oleh kerajaan terutama apabila telah menjadi salah satu janji manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Saya rasa itu satu usaha yang cukup perlu, yang juga satu janji (manifesto) jadi cukup perlu dilaksanakan.

“Kami amat mengalu-alukan usaha kerajaan untuk laksanakan sesuatu kepada perkara berkaitan tol dan kos sara hidup ini yang sudah tentu akan membawa persepsi positif kepada rakyat.

“Perkara sebegini sangat dinantikan oleh pengguna dan rakyat umumnya dan ia patut disokong oleh semua pihak termasuk rakyat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, proses pengambilalihan empat lebuh raya bertol dijangka selesai pada penghujung Disember tahun ini selepas kerajaan mengemukakan tawaran rasmi berjumlah RM6.2 bilion hasil rundingan dengan syarikat Gamuda Berhad (Gamuda) berkepentingan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan dijangka ambil alih 4 lebuh raya 31 Disember

Menurutnya, lebuh raya tersebut adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart (Smart).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Nadzim berkata, usaha seperti itu diharap akan diteruskan oleh kerajaan sama ada bagi realisasikan janji manifesto atau sebaliknya.

“Harap perkara ini diteruskan dan dilakukan lebih lagi. Bukan tol sahaja, dan bukan dalam manifesto juga perlu dilakukan seperti melibatkan kesihatan.

“Apa yang boleh dilakukan dahulu, lakukanlah selagi ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk melunaskan janji mereka kepada rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai diskaun tol yang mungkin akan diberikan kerajaan iaitu diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak, jawabnya ia bagus untuk pengguna.

“Tetapi kalau tol tengah malam sahaja yang diberikan percuma ia tidak berapa nak seronok, biar ia berbaloi memberi kebaikan kepada pengguna,” jelasnya.