Mukhriz tidak tahu penyaluran wang ketika terajui UMNO Kedah

Mukhriz (empat dari kiri) ketika gimik perasmian hyred sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri, di pekarangan Stadium Darul Aman.
Mukhriz (empat dari kiri) ketika gimik perasmian hyred sempena sambutan Hari Belia peringkat negeri, di pekarangan Stadium Darul Aman.
A
A
A

ALOR SETAR - Transaksi penyaluran wang daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada UMNO Kedah tiada dalam pengetahuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika beliau menerajui UMNO Kedah pada 2013 hingga 2016.

Menurut Mukhriz, semua urusan berkaitan kewangan parti ketika itu diserahkan kepada Bendahari UMNO Kedah iaitu Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

“Saya tak pasti bila perkara itu berlaku. Ketika saya Pengerusi UMNO Kedah, memang ada keperluan untuk perbelanjaan setiap bahagian, namun diuruskan Bendahari parti,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Belia peringkat negeri di pekarangan Stadium Darul Aman di sini hari ini.

Mukhriz yang kini merupakan Timbalan Presiden Bersatu berkata, beliau tidak dimaklumkan oleh Bendahari UMNO Kedah berhubung kaedah digunakan untuk memperoleh peruntukan bagi menggerakkan aktiviti parti itu.

Beliau berkata, ketika menerajui UMNO Kedah, beliau tidak pernah memohon peruntukan sehingga berjuta-juta ringgit selain mengakui tiada maklumat berkaitan sumber kewangan parti.

“Ada minta pun bukan jumlah yang melampau hingga jutaan ringgit,” katanya.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengumumkan SPRM akan memfailkan permohonan pelucuthakan sivil terhadap 41 individu dan entiti untuk mendapatkan kembali lebih RM265 juta wang yang dikatakan milik 1MDB, dipindahkan ke akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan selepas itu diberikan kepada penerima terbabit.

Latheefa berkata, daripada nilai berkenaan, sejumlah RM212 juta diberikan kepada beberapa bahagian dan cawangan UMNO, termasuk UMNO Kedah.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz berkata, memandangkan sudah terbukti sumber kewangan itu daripada punca yang salah, adalah wajar untuk UMNO Kedah memulangkan semula wang yang diterima sebagai peruntukan parti.

“Sekarang sudah didedahkan, ada duit 1MDB sampai kepada UMNO Kedah dan UMNO negeri lain, kalau didapati sumbernya daripada punca yang salah, malah UMNO pun akui perkara itu, harus pulangkan semula duit yang diagihkan kepada UMNO negeri, termasuk Kedah,” katanya.

Mukhriz pernah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada Mei 2013, ketika itu beliau merupakan Pengerusi UMNO Kedah selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun beliau meletak jawatan sebagai menteri besar pada Februari 2016 setelah majoriti ADUN Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya, sekaligus melepaskan jawatan sebagai Pengerusi UMNO negeri itu.