Cadang buka sempadan 24 jam

Mohd Asmirul (kanan) menandatangani plak perasmian Proriders Auto (M) Sdn Bhd. Turut sama Mohd Faiz (kiri).
Mohd Asmirul (kanan) menandatangani plak perasmian Proriders Auto (M) Sdn Bhd. Turut sama Mohd Faiz (kiri).
A
A
A

PENDANG - Kedah sedia mempertimbangkan pandangan orang ramai yang berharap pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam yang dibuka 24 jam kepada kenderaan berat turut dibuka kepada orang awam.

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, cadangan seumpama itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Exco namun jelasnya sebarang keputusan penuh tertakluk kepada kerajaan Pusat.

Menurutnya, sekarang ini pintu sempadan dibuka 24 jam dan diberi tempoh sehingga 3 bulan.

"Kami faham dengan setiap keinginan masyarakat terutamanya rakyat Kedah. Pada waktu yang sama kita juga mahu melihat kepada impak ekonomi yang boleh memberikan kesan langsung kepada Kedah.

"Tetapi bagi saya, kerajaan sentiasa memerhati dan keputusan itu akan diperhalusi melalui mesyuarat Exco dan kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri hanya memberi cadangan dan kerajaan Persekutuan akan buat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Proriders Auto (M) Sdn Bhd dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas permintaan netizen di media sosial yang berharap pintu sempadan Malaysia-Thailand bagi laluan kenderaan berat dan kargo dibuka 24 jam untuk tempoh percubaan sehingga 27 September juga dibuka kepada orang awam.

Operasi berkenaan melibatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Proriders Auto, Mohd Faiz Mansor dan Pengarah Mara Kedah, Yahaya Sani.