Rakyat perlu lebih matang: Zuraida

Zuraida (kanan) bersalam dengan masyarakat orang asli dari Kuala Betis yang turut menyerikan majlis tersebut.
Zuraida (kanan) bersalam dengan masyarakat orang asli dari Kuala Betis yang turut menyerikan majlis tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Rakyat diminta untuk lebih matang dan tidak menjadi penyebar kepada sesuatu perkara yang melibatkan masalah moral dalam masyarakat.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, sudah tiba masanya rakyat Malaysia tidak bercakap mengenai isu yang tidak memberi manfaat dan memundurkan masyarakat.

“Rakyat Malaysia perlu jadi matang, jangan jadi sebahagian daripada penyebar isu menjijikkan. Jangan jadikan ia sebahagian daripada topik percakapan harian kita. Kita harus matikan, barulah negara boleh maju.

“Kalau kita terus terlibat dengan perbualan dan percakapan isu ini, maka negara kita tidak akan nampak kemajuannya. Isu begini tidak sepatutnya terjadi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau hadir Rumah Terbuka Perdana Aidilfitri anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Pulau Belanga yang turut dihadiri pemimpin PKR Negeri.

Terdahulu, beliau diminta mengulas mengenai pandangan rakyat yang mungkin melihat pemimpin PKR tidak bermoral apabila dikaitkan dengan beberapa isu sebagaimana yang berlaku kepada kes Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan satu video minggu lalu.

Mengulas mengenai status Haziq dalam PKR, Zuraida berkata, beliau tetap mengulangi pendirian pemuda tersebut perlu dipecat daripada menganggotai parti itu dan ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan untuk proses tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ia melibatkan proses surat tunjuk sebab dan sebagainya. Kita akan lihat tindakan lanjut nanti,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah penyebaran video tersebut merupakan salah satu agenda pembangkang, Zuraida berkata, mungkin perkara tersebut berlaku dan jika tidak, pembangkang tetap boleh ‘tumpang semangkuk’ untuk sama-sama menjatuhkan pemimpin parti itu.