Dua sahabat dakwa dibelasah, dituduh curi wang RM4,000

MOHD ZAMRI
MOHD ZAMRI
A
A
A

JERTIH - Dua sahabat menanggung kesakitan selepas didakwa dibelasah oleh sepuluh suspek termasuk seorang penjawat awam dan seorang wanita selepas mangsa dituduh mencuri wang RM4,000 di sebuah premis di Pasir Akar pada Selasa lepas.

Mangsa berusia 32 tahun dan seorang lagi rakannya bukan sahaja dipukul tetapi digertak dengan sebilah pedang oleh suspek selain turut kehilangan barangan berharga termasuk sebuah kereta dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian, ketika dua mangsa tersebut berada di sebuah rumah di Kampung Gaal, Pasir Putih, Kelantan, mereka didatangi empat orang yang dikenali termasuk seorang wanita menaiki dua kereta.

Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ke sebuah premis di Pasir Akar dan suspek bertanyakan tentang kehilangan wang tunai lebih kurang RM4,000 di premis tersebut.

“Mangsa menafikan mengambil wang itu dan menyebabkan dia dan rakannya dipukul kira-kira sepuluh suspek di premis berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan pengakuan mangsa.

“Pada masa sama, salah seorang suspek telah mengeluarkan sebilah pedang dipercayai untuk menakutkan mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mohd Zamri berkata, mangsa berusia 32 tahun turut mendakwa suspek telah mengambil tiga unit telefon bimbit milik mereka selain sebuah komputer riba, beg duit dan dua bentuk cincin.

Menurutnya, buruh itu berkata, kereta Perodua Bezza milik rakannya turut diambil suspek.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa yang bimbang keselamatannya telah membuat laporan di Balai Polis Pasir Akar kelmarin (Rabu) untuk tindakan lanjut.

“Susulan laporan tersebut, polis berjaya memberkas enam suspek berusia 30 hingga 56 tahun termasuk penjawat awam berusia 35 tahun dan wanita berusia 30 tahun di sekitar daerah ini.

“Kesemua enam suspek itu dari Hulu Besut dan polis turut berjaya merampas semula kereta, telefon bimbit dan komputer riba milik mangsa daripada suspek,” katanya.

Mohd Zamri berkata, kesemua mereka negatif dadah ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.