Urusan harian SRC perlu persetujuan Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa urusan kerja harian SRC International Sdn Bhd perlu dibincangkan dan dipersetujui oleh ‘pihak atas’ iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan penasihat emeritus SRC.

Bekas pengarah bukan eksekutif SRC, Datuk Suboh Md Yassin berkata berkenaan urusan harian SRC, beliau pernah menimbulkan persoalan berkenaan isu-isu due diligence (membuat penilaian) SRC serta pertimbangan untuk projek pelaburan SRC kerana terdapat isu-isu compliance (pematuhan) yang perlu dipatuhi.

“Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil, Ketua Pegawai Eksekutif SRC) selalu akan membalas dengan menyatakan perkara tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui oleh ‘pihak atas’. Pada pendapat saya, ‘pihak atas’ yang dikatakan Nik Faisal adalah merujuk kepada Datuk Seri Najib,” katanya semasa membacakan penyataan saksinya pada perbicaraan kes SRC melibatkan Najib.

Suboh berkata, merujuk kepada minit mesyuarat Lembaga Pengarah SRC, pada 23 Ogos 2011 telah membincangkan cadangan pelaburan wang pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) di Abu Dhabi yang Shahrol Azral Ibrahim Halmi (seorang daripada ahli Lembaga Pengarah SRC) telah menyatakan tiada visibility target date (tiada tarikh sasaran) serta no clear vision (tiada visi yang jelas) bagi cadangan pelaburan tersebut.

Katanya beliau menyokong pandangan Shahrol serta menambah appropriate due diligence be carried out (penilaian yang sewajarnya patut dilaksanakan), namun pada pengetahuannya tiada tindakan diambil atas perkara berkenaan.

“Sebagai contoh lain, saya rujuk pula kepada minit Mesyuarat Lembaga Pengarah SRC yang diadakan pada 13 Sept 2011, yang saya hadir mesyuarat itu.

Minit mesyuarat itu membincangkan cadangan pelaburan di Indonesia yang dibentangkan oleh Nik Faisal. Saya telah memberikan peringatan dan amaran kepada mesyuarat bahawa business landscape in Indonesia is different from Malaysia (landskap perniagaan di Indonesia berbeza dari Malaysia) dan SRC perlu berhati-hati di dalam membuat pelaburan di sana,” katanya.

Katanya, beliau berkata demikian kerana adalah tanggungjawabnya sebagai Pengarah SRC untuk memastikan wang SRC dilabur dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan walaupun beliau seorang daripada pengarah SRC, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan atau mengarahkan sebarang tindakan diambil kerana semua perkara berbangkit akan dibawa oleh Nik Faisal untuk dibincangkan dan dipersetujui oleh Najib.

“Saya juga sedia tahu yang Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri telah melantik saya sebagai seorang daripada Pengarah SRC dan oleh itu beliau juga mempunyai kuasa untuk memecat saya.

Saya sedar dan mengetahui bahawa kuasa mutlak untuk lantik dan pecat mana-mana ahli Lembaga Pengarah SRC adalah terletak di tangan Datuk Seri Najib,” katanya.

Beliau berkata walaupun, terdapat tindakan SRC yang pada pendapatnya adalah tidak wajar, beliau tidak meletakkan jawatannya sebagai pengarah SRC kerana beliau merasakan bertanggung jawab untuk dana SRC yang telah dilaburkan di luar negara.

“Oleh itu saya kekal dalam Lembaga Pengarah SRC untuk berusaha dan memastikan dana tersebut dapat dibawa pulang semula,” katanya.

Suboh juga berkata bagi SRC, sebarang keputusan Lembaga Pengarah perlu mendapat nasihat daripada penasihat emeritus iaitu Najib.

Katanya jika terdapat sebarang perkara yang perlu dibawa ke perhatian Najib, tindakan itu akan dilakukan oleh Nik Faisal sahaja kerana hanya dia akan bertindak sebagai perantaraan antara Lembaga Pengarah SRC dan Najib.

“Tindakan melaporkan sebarang perbincangan atau keputusan berkaitan SRC akan dibuat oleh Nik Faisal sahaja kepada Datuk Seri Najib.

Saya berpendapat sedemikian kerana kerap kali berlaku keadaan yang sekiranya terdapat surat atau dokumen yang ditujukan secara khusus kepada Datuk Seri Najib, Nik Faisal akan menyatakan bahawa surat atau dokumen tersebut akan dibawa oleh Nik Faisal sendiri untuk berjumpa Datuk Seri Najib,” katanya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 1 Julai. - Bernama