Korea Selatan hantar 50,000 tan beras ke Pyongyang

Korea Utara didakwa berdepan krisis terburuk selepas negara itu mengalami musim kemarau terburuk dalam tempoh 37 tahun.
Korea Utara didakwa berdepan krisis terburuk selepas negara itu mengalami musim kemarau terburuk dalam tempoh 37 tahun.
A
A
A

SEOUL - Korea Selatan semalam memaklumkan ia akan menghantar 50,000 tan beras ke Pyongyang dengan harapan bantuan kemanusiaan itu akan dapat memujuk Korea Utara kembali ke meja rundingan.

Menteri Penyatuan, Kim Yeon-chul berkata, penghantaran bantuan beras itu akan disalurkan melalui Program Makanan Sedunia PBB (WFP) sebelum September depan. Beliau juga menggambarkan prospek lebih banyak bantuan yang mana Korea Selatan akan memutuskan tentang skala masa untuk bantuan makanan tambahan selepas mengkaji keputusan bantuan sokongan tersebut.

Penghantaran beras bernilai lebih AS$100 juta (RM414 juta) itu akan menjadi bantuan pertama Seoul ke negara itu sejak 2010 yang menyaksikan 5,000 tan beras dihantar ke Pyongyang pada masa tersebut.

Korea Selatan juga memberitahu ia akan menyalurkan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$8 juta (RM33 juta) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami malnutrisi dan ibu hamil.

Bulan lalu, laporan PBB mendedahkan kira-kira 40 peratus populasi penduduk di Pyongyang memerlukan bantuan makanan selepas negara itu berdepan krisis penuaian terburuk dalam tempoh sedekad.

Hasil tuaian gandum dan barli pada bulan ini juga dikhuatiri sedikit berikutan Korea Utara kini mengalami musim kemarau terburuk dalam tempoh 37 tahun. Setakat ini, tiada laporan penduduk Pyongyang alami kebuluran. - AFP

Artikel Berkaitan: