David Beckham fail saman RM169 juta gara-gara minyak wangi jenamanya dijual murah

David Beckham
David Beckham
A
A
A

NEW YORK - Pertikaian berhubung penjualan minyak wangi berjenama David Beckham mencetuskan kontroversi apabila produk yang dipasarkan sebagai barangan mewah itu didakwa dijual di kedai diskaun dan ruang jualan barangan murah di sebuah stesen minyak.

Syarikat komersial milik bekas bintang bola sepak itu, DB Ventures memfailkan saman terhadap kumpulan kecantikan dari Jerman, Coty yang bertanggungjawab menghasilkan dan mengedarkan rangkaian wangian serta produk penjagaan diri berjenama Beckham.

Antara produk terbabit ialah rangkaian Classic dan Instinct serta minyak wangi Intimately dan Exquisite Leather.

DB Ventures berhujah jenama global Beckham sinonim dengan kecemerlangan dan kehalusan manakala produknya mencerminkan kemewahan dalam kehidupan seharian.

“Bayangkan kejutan dan kekecewaan yang dialami apabila DB Ventures mendapati produk David Beckham dijual di sebuah stesen minyak. Bagaimana perkara ini boleh berlaku? Akibat keterdesakan dan ketamakan,” menurut dokumen mahkamah berkenaan.

Peguam DB Ventures mendakwa produk berjenama Beckham turut dijual di ruang barangan murah sebuah stesen minyak dan rangkaian peruncit bajet Britain, Poundland.

Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan produk berkenaan dijual pada harga serendah barangan kedai diskaun, sekali gus menjejaskan imej jenama Beckham yang dikaitkan dengan produk mewah.

Susulan itu, DB Ventures menuntut ganti rugi sekurang-kurangnya AS$41 juta (RM169 juta) atas dakwaan pelanggaran perjanjian pelesenan.

Bagaimanapun, Coty memohon mahkamah membatalkan saman yang difailkan pada April lalu atas alasan mahkamah New York tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu turut mendakwa DB Ventures menggunakan tuntutan berkenaan sebagai alasan untuk menamatkan perjanjian pelesenan lebih awal dan memindahkan kontrak Beckham kepada firma lain, Interparfums.

Menerusi kenyataan pada Selasa, Coty menegaskan pihaknya menafikan dakwaan tersebut dan telah memohon supaya saman itu dibatalkan.

Sementara itu, syarikat induk DB Ventures, firma hiburan dan gaya hidup Amerika Syarikat (AS), Authentic Brands enggan mengulas mengenai perkara berkenaan.

Beckham yang pernah menyarung jersi beberapa kelab ternama termasuk Manchester United dan Real Madrid serta mengetuai pasukan kebangsaan England berjaya membina empayar perniagaan selepas menempa nama dalam arena bola sepak.

Antara penglibatan beliau dalam dunia perniagaan termasuk pemilikan bersama kelab bola sepak Inter Miami.

Pada tahun lalu, Beckham turut menerima gelaran kesatria daripada pemerintah Britain, Raja Charles III, sekali gus melayakkannya menggunakan gelaran Sir David.

Senarai individu terkaya Sunday Times yang diterbitkan awal tahun lalu menganggarkan kekayaan pasangan Beckham mencecah hampir 1.2 bilion pound (RM6.5 bilion). - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!