China mahu perdagangan, pelaburan bebas dan terbuka bagi negara Asia Pasifik

Xi ketika memberikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan sempena APEC 2026 di Shenzen, China pada Rabu. - FOTO: Facebook Xi's Moments
Xi ketika memberikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan sempena APEC 2026 di Shenzen, China pada Rabu. - FOTO: Facebook Xi's Moments
A
A
A

SHENZHEN - China mencadangkan supaya perdagangan dan pelaburan lebih bebas dan terbuka bagi membina ekonomi di Asia Pasifik.

Menurut Presiden, Xi Jinping, ekonomi Asia Pasifik mempunyai latar belakang sejarah, budaya dan tahap pembangunan yang berbeza-beza. 

“Oleh itu, kerjasama tidak boleh dilaksanakan menerusi pendekatan seragam untuk semua pihak.

“Kita perlu menghapuskan halangan perdagangan dan pelaburan bagi membina ekonomi Asia Pasifik yang terbuka, di samping menggalakkan pembangunan yang inklusif dan seimbang dengan mengambil kira aspek kecekapan serta keadilan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dasar pada Sidang Kemuncak Pemimpin Perniagaan sempena Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC 2026) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Jinping berkata, negara-negara APEC perlu berpegang kepada falsafah pembangunan yang berteraskan rakyat, memperkukuh kerjasama ekonomi dan teknikal dengan ekonomi membangun serta memperdalam kerjasama dalam bidang pengangkutan, kesihatan awam, tenaga, keselamatan makanan dan usaha memerangi rasuah. 

“Matlamatnya adalah memastikan hasil pembangunan dapat dinikmati oleh semua ekonomi, lapisan masyarakat dan golongan rakyat.

“Rantau Asia Pasifik menghimpunkan beberapa kawasan teluk ekonomi paling penting di dunia,” jelas beliau.

Tambah Jinping, ekonomi berasaskan kawasan teluk mempunyai ciri keterbukaan, sinergi dan limpahan manfaat yang tersendiri. 

Artikel Berkaitan:

“Shenzhen, tempat kita berkumpul hari ini, terletak dalam kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao (Greater Bay Area),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, China menyokong penubuhan Perikatan Kerjasama Ekonomi Teluk Dunia bagi memperkukuh hubungan dan interaksi antara kawasan teluk serta meneroka pendekatan baharu dalam kerjasama ekonomi Asia Pasifik.

Pemimpin dunia termasuk Malaysia menyertai Sidang APEC 2026 bermula hari ini hingga esok.

Perjumpaan itu penting bagi semua negara anggota bagi membincangkan tentang isu-isu ekonomi yang kini berdepan cabaran besar, termasuk persaingan dalam perdagangan.

Bertempat di bandar paling maju di China, sidang tersebut bertemakan “Membina Komuniti Asia-Pasifik Demi Kemakmuran Bersama”. 

APEC 2026 dijangka memberikan tumpuan kepada tiga keutamaan utama,iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serantau.

Sementara iu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyampaikan ucapan bertajuk “Memikirkan Semula Keterbukaan: Membina Kemakmuran Bersama di Asia-Pasifik”.

Kemuncak lawatan kerja itu adalah pada 19 November apabila Anwar dijadualkan menyampaikan Kenyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33.

Beliau juga bakal mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan sejawat daripada ekonomi anggota APEC bagi membincangkan isu berkepentingan bersama.

Selain itu, Perdana Menteri dijadualkan mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi pada 20 November bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perbincangan turut merangkumi sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, ekonomi digital, kecerdasan buatan, semikonduktor, pelancongan serta kerjasama pelabuhan.

Perdana Menteri juga akan berinteraksi dengan peneraju industri utama menerusi Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!