37 rakyat Palestin terbunuh dalam seminggu

GAZA – Sekurang-kurangnya 37 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh seminggu akibat serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza, meskipun gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober tahun lalu masih berlangsung.
Serangan berterusan itu turut menyasarkan kawasan penempatan penduduk, khemah pelarian dan kemudahan awam, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap keselamatan jutaan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Menurut laporan mingguan Al Jazeera pada Selasa, Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan 1,650 rakyat Palestin terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata Oktober 2025 sehingga 16 November lalu.
Antara serangan paling dahsyat berlaku pada 12 November apabila bom Israel mengenai Kompleks Perubatan Nasser di Khan Younis, mengorbankan enam individu termasuk seorang pakar bedah, Rizq Abu Shaira.
Serangan itu turut mencederakan puluhan individu selepas bangunan yang menempatkan unit pembedahan hospital berkenaan terkena bedilan.
Tentera Israel mendakwa operasi itu menyasarkan komander Briged Khan Younis Hamas, Muhammad Abu Ismail, selain menuduh kumpulan berkenaan menggunakan hospital tersebut sebagai pusat arahan ketenteraan.
Bagaimanapun, serangan terhadap kemudahan perubatan itu dikecam menteri luar 18 negara Arab dan majoriti penduduk Islam yang menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
