Kes rasuah: MBPJ lakukan pemantauan lebih ketat

Sayuthi (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan selepas menyerahkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis tersebut.
Sayuthi (dua dari kanan) merakamkan gambar kenangan selepas menyerahkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke majlis tersebut.
A
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melakukan pemantauan lebih ketat bagi menggelakkan mana-mana kakitangan mereka terlibat dengan budaya rasuah.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata selain itu, program-program kesedaran dan kursus motivasi khas juga akan dilaksanakan dalam usaha untuk mengukuhkan integriti di kalangan kakitangan MBPJ.

Beliau berkata, isu melibatkan integriti akan dapat dikawal dengan sebaiknya sekiranya terdapat sistem kawalan lebih efektif dan berkesan.

"Perkara melibatkan integriti ini sebenarnya susah untuk kawal melainkan terdapat sistem kawalan yang lebih efektif untuk elakkan mereka (kakitangan) melakukan kesalahan melibatkan integriti," katanya selepas mengikuti program Rumah Terbuka Aidilfitri dan Sambutan Ulang Tahun ke 13 MBPJ yang berlangsung di Stadium Petaling Jaya hari ini.

Mohd Sayuthi berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai langkah yang bakal diambil MBPJ susulan daripada penularan video beberapa anggota penguatkuasa yang disyaki terlibat dalam kes meminta suapan baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han juga memaklumkan beberapa anggota yang disyaki terlibat dalam video tersebut telah diarah berhenti menjalankan tugas di luar pejabat.

Malah, beliau berkata, siasatan dalaman juga sedang dijalankan terhadap anggota penguatkuasa terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Sayuthi berkata buat masa ini, pihaknya masih giat menjalankan siasatan dalaman berhubung kes tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini, mereka masih dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kita perlukan sedikit masa lagi.

"Namun kita sudah ambil tindakan secara pentadbiran dengan menempatkan mereka untuk kerja-kerja dalaman sehingga siasatan selesai," katanya.

Tambah beliau, pihaknya enggan mengulas lanjut mengenai kes itu berikutan siasatan masih dijalankan SPRM buat masa ini.