MPK hantar senarai nama kilang plastik haram kepada ST

Mohamad Yasid (dua dari kiri) mengiringi Abdul Rashid (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Mesra Aidilfitri MPK di Taman Pengkalan Batu, hari ini.
Mohamad Yasid (dua dari kiri) mengiringi Abdul Rashid (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada penerima pada Majlis Mesra Aidilfitri MPK di Taman Pengkalan Batu, hari ini.
A
A
A

KLANG – Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah menghantar senarai nama dan alamat 30 kilang plastik haram di daerah itu kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk tujuan pemotongan bekalan elektrik.

Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, tindakan itu bagi memudahkan pihaknya menjalankan operasi penguatkuasaan terhadap kilang terbabit.

“Sebanyak 30 senarai nama dan alamat kilang plastik haram yang sudah dikenal pasti telah dihantar ke ST bagi mendapatkan kelulusan untuk menjalankan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik dan air.

“Sebelum ini (operasi) kerja itu tidak dapat dilakukan kerana tiada kelulusan daripada suruhanjaya itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri MPK di Taman Pengakalan Batu, di sini hari ini.

Menurut beliau, MPK akan melaksanakan operasi membanteras kilang plastik haram secara besar-besaran selepas mendapat kelulusan suruhanjaya berkenaan.

“Kita akan pastikan kilang plastik ini tanpa izin ini akan ditutup kerana kebanyakannya masih berdegil dan beroperasi walaupun sudah disita serta dikenakan kompaun.

“Perkara ini berlaku kerana bekalan elektrik masih lagi berfungsi dan mereka (pemilik kilang) dan mereka tahu kuasa yang kita ada terhad.

“Kita hanya boleh mengeluarkan notis amaran, kompaun dan bawa kes terbabit di mahkamah. Jadi mereka lebih bertindak berani,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Yasid berkata, kilang terbabit giat beroperasi terutama di Telok Gong, Pulau Indah dan Kawasan Perindustrian Sobena di Pelabuhan Klang.

“Kita menerima banyak aduan mengenai kes pencemaran disebabkan kilang plastik plastik ini. Jadi operasi secara besar-besaran akan dijalankan bagi membendung kewujudan kilang haram ini,” katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pemilik kilang plastik haram di daerah ini diberi amaran supaya menutup kilang mereka sekiranya tidak mahu dikenakan kompaun atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Gesaan itu dibuat berikutan MPK akan melaksanakan operasi membanteras kilang plastik haram secara besar-besaran bermula minggu hadapan.