84MW kapasiti tenaga elektrik dijana melalui solar di Sabah

Kapasiti tenaga elektrik dijana melalui solar di Sabah setakat ini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW) dan projek untuk menambah kapasiti berkenaan sedang dilaksanakan. - Gambar hiasan
Kapasiti tenaga elektrik dijana melalui solar di Sabah setakat ini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW) dan projek untuk menambah kapasiti berkenaan sedang dilaksanakan. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kapasiti tenaga elektrik dijana melalui solar di Sabah setakat ini adalah sebanyak 84 MegaWatt (MW) dan projek untuk menambah kapasiti berkenaan sedang dilaksanakan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu pada Rabu.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penjanaan 50MW tenaga itu beroperasi sejak 2018 terletak di ladang solar Kudat dan 34MW adalah Projek Solar Photovoltaic (Solar PV) di bawah skim Feed-in Tariff melibatkan 796 pepasangan jenis individu, komersial dan komuniti.

Beliau berkata, kapasiti Solar Berskala Besar yang sedang dalam pelaksanaan adalah 62MW dan dijangka siap pada 2024; masing-masing berkapasiti 6MW di Beaufort, Kunak (5MW), Sandakan (20MW), Tawau (16MW) dan Labuan (15MW).

"Oleh itu jumlah besar tenaga solar yang telah dan akan beroperasi di dalam grid Sabah adalah sekitar 146MW atau 11 peratus daripada jumlah kapasiti penjanaan seluruh grid (elektrik) di Sabah," katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik).

Yong bertanya berapakah jumlah tenaga elektrik daripada solar yang kini dijana di Sabah dan apakah sasaran penghasilan tenaga elektrik daripada solar yang diperlukan di Sabah.

Mengulas lanjut, Nizam berkata, menurut maklumat daripada Pelan Hala Tuju Tenaga Boleh Baharu Malaysia (MyRER) yang dirangka Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada 2021, potensi penjanaan elektrik melalui solar di Sabah adalah terbaik di Malaysia iaitu sebanyak 99,400MW.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan kepada jumlah kesemua keluasan tanah tidak dibangunkan sebanyak 1,887km persegi atau sekitar 2.6 peratus daripada jumlah keluasan tanah Sabah bagi reka bentuk solar terpasang di permukaan tanah atau jenis ground mounted.

"Akan tetapi secara praktikal, sekiranya sebahagian kecil daripada keluasan tanah tersebut dibangunkan sebagai ladang solar, umpamanya satu peratus daripada 1,887km persegi (19km persegi atau 4,600 ekar), ia boleh menghasilkan kapasiti solar sekitar 1,000MW," katanya.

Katanya bagi memastikan kestabilan grid elektrik Sabah, kapasiti tenaga solar yang boleh disambung dan disalurkan ke grid Sabah adalah dihadkan kepada 22 peratus daripada kehendak maksimum sistem grid iaitu dihadkan kepada 220MW sahaja ketika ini.

"Ini memandangkan kepada kuasa tenaga solar yang tidak konsisten dan bergantung dengan keadaan sinaran matahari. Oleh itu, sasaran tambahan kapasiti tenaga solar yang dirancang oleh kerajaan negeri pada masa akan datang adalah terhad iaitu sekitar 100MW sehingga tempoh 2027.

"Kapasiti tenaga solar yang disalurkan ke grid elektrik negeri Sabah boleh ditingkatkan sekiranya teknologi sistem simpanan tenaga bateri digabungkan bersama teknologi tenaga solar bila teknologi ini matang dan berdaya saing di masa akan datang," katanya. - Bernama