Bedah siasat 14 mayat orang asli selesai

Hasanuddin ditemui pada sidang akhbar Majlis Hari Raya Bersama Warga Kota Bharu di Dewan Jubli Perak hari ini.
A
A

KOTA BHARU – Polis mengesahkan proses bedah siasat membabitkan 14 orang asli yang meninggal dunia di Kuala Koh, selesai hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, bedah siasat membabitkan kanak-kanak 3 tahun tidak dilakukan kerana mangsa meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Beliau berkata, pihaknya bersiap sedia untuk prosedur seterusnya iaitu fasa pengebumian semula kesemua mangsa yang terlibat.

“Pasukan polis akan membantu agensi terlibat seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

“Bagaimanapun, kami belum dimaklumkan mengenai tarikh dan masa proses pengebumian semula akan dijalankan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Hari Raya Bersama Warga Kota Bharu di Dewan Jubli Perak hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, Kuala Koh masih diletakkan dalam zon merah dan pusat operasi di Felda Aring 10 masih dibuka.

Menurutnya, anggota polis akan berada di lokasi berkenaan sehingga dimaklumkan selamat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, jumlah keanggotaan antaranya unit forensik yang bertugas di sana dikurangkan.

Sebanyak 15 kematian dicatatkan membabitkan orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh Gua Musang.

KKM mengesahkan orang asli di sini dijangkiti wabak measles atau demam campak dengan jumlah kes yang direkodkan sehingga 17 Jun lalu, meningkat kepada 113 kes.

Kes yang masih berada di dalam wad berjumlah 52 kes iaitu 49 di wad biasa dan tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Seramai 20 orang asli didapati sembuh daripada penyakit berkenaan dan ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli (Rika) di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang.

ARTIKEL BERKAITAN: Orang asli Bateq akan diberi vaksin campak bermula minggu ini

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sahkan suku-Bateq dijangkiti demam campak


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia