X

Kindly register in order to view this article
!

KKM sahkan suku Bateq dijangkiti demam campak

A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan orang asli suku Bateq di Kuala Koh, Gua Musang, dijangkiti wabak measles atau demam campak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pengesahan itu dibuat berdasarkan hasil ujian makmal yang dilaksanakan.

"Antara faktor utama wabak measles merebak di perkampungan itu ialah liputan imunisasi MMR yang sangat rendah iaitu 61.5 peratus bagi dos pertama dan 30 peratus bagi suntikan dos kedua.

"Kekurangan zat makanan juga menyumbang kepada risiko jangkitan dan kejadian komplikasi, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat 15 Jun lalu, seramai 170 daripada 185 atau 92 peratus orang asli Kuala Koh telah diperiksa status kesihatan mereka.

"Daripada jumlah itu, 112 kes dilaporkan kepada KKM termasuk tiga kematian terbaharu yang melibatkan seorang kanak-kanak berumur dua tahun enam bulan pada petang semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II kerana Pneumonia (akibat komplikasi measles)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak orang asli Bateq meninggal dunia

Justeru itu, menurutnya KKM telah menjalankan beberapa tindakan pencegahan dan kawalan wabak di perkampungan orang asli tersebut.

"KKM telah melakukan carian kes secara aktif di perkampungan orang asli dan sekitarnya berdasarkan pergerakan mereka sebelum ini dan memberi Vitamin A kepada kanak-kanak yang dirawat kerana measles.

"Liputan imunisasi kepada penduduk orang asli yang terlibat juga dipertingkatkan selain memberi pendidikan kesihatan terutama penjagaan kebersihan diri. Pada masa sama KKM mempertingkatkan Infection Prevention Control (IPC) di fasiliti kesihatan dan sentiasa amalkan penggunaan alat perlindungan diri," katanya.

Dzulkefly berkata, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) diarahkan meningkatkan survelan jangkitan measles dan meningkatkan liputan imunisasi kepada orang asli di negeri masing-masing.

"JKN perlu melaporkan segera kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) kebangsaan jika terdapat gejala atau kematian yang mempunyai gejala yang sama.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga terus memantau perkampungan Kuala Koh untuk memastikan tiada pihak luar yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu bagi mengelak penularan jangkitan, katanya lagi.