Orang asli Bateq akan diberi vaksin campak bermula minggu ini

Gambar kecil: Dr Zaini Hussin
A
A

KOTA BHARU - Bermula minggu ini suntikan vaksin secara menyeluruh akan diberikan kepada penduduk orang asli suku kaum Bateq, Kuala Koh Gua Musang bagi mengekang penularan wabak measles atau demam campak yang melanda mereka sejak sebulan lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, selain suku kaum terbabit, penduduk sekitar yang berada di kampung berkenaan juga tidak terkecuali daripada diberikan vaksin sama.

“Kampung itu bukan hanya didiami orang asli, malah terdapat juga masyarakat tempatan di sekitarnya.

“Jadi, ketika ini pihak jabatan sedang mengumpul data untuk mengenal pasti bilangan mereka yang terdedah dan akan memberikan vaksin kepada mereka secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dijangka akan mengalami kesukaran dalam melaksanakan tugas tersebut namun usaha pihaknya itu akan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Tugas ini bukan sesuatu yang mudah memandangkan sikap orang asli yang suka mengelak tetapi JAKOA akan membantu dan ketua kampung atau tok batin penduduk orang asli juga akan turut sama berusaha menyempurnakan tugas memberi vaksin ini.

“Dalam masa sama, program suntikan imunisasi secara berjadual akan diteruskan terutama kepada kanak-kanak. Cuma sebelum ini pihak kami menghadapi kesukaran memandangkan suku kaum itu kerap berpindah-randah,” katanya.

Dr Zaini berkata orang asli tidak boleh dipersalahkan kerana mungkin ketika kita ingin melakukan suntikan imunisasi secara berjadual di kampung itu tapi kebetulan mereka tiada kerana perlu mencari hasil hutan.

“Pihak jabatan sentiasa berusaha membantu orang asli suku Batek dari segi suntikan, namun liputan imunisasi rendah iaitu hanya 61.5 peratus bagi suntikan dos pertama vaksin (Mump, Measles dan Rubela) serta 30 peratus bagi suntikan dos kedua,” katanya.

Tambahnya, suntikan vaksin bukan satu-satunya cara pencegahan demam campak atau penyakit lain, namun pihaknya perlu melihat dalam aspek lain seperti pemakanan.

“Pejabat Kesihatan Gua Musang sentiasa memasuki ke kampung itu setiap bulan yang bukan saja memberi rawatan dan menjalankan promosi kesihatan, malah aktiviti lain turut diadakan sebagai proses untuk mengubah tingkah laku mereka.

“Program berbentuk kesedaran dijalankan secara berterusan walaupun memerlukan masa yang lama dan membabitkan semua pihak kerana mereka perlu meningkatkan pendidikan kesihtan selain isu sosioekonomi bagi meyakinkan mereka tentang imunisasi,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata wabak demam campak yang melanda orang asli suku kaum Bateq Kuala Koh Gua Musang meningkat daripada 112 kepada 113 kes sehingga malam tadi.

“Jumlah kes yang direkodkan sehingga 17 Jun 2019 adalah 113 kes termasuk tiga kematian.

“Kes yang masih berada di dalam wad berjumlah 52 kes termasuk 49 di wad biasa dan tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai,” katanya.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes jangkitan wabak campak itu sejumlah 20 orang asli sudah sembuh daripada penyakit berkenaan.

“Kesemua 20 orang asli yang sembuh ini ditempatkan di Rumah Inap Orang Asli (Rika) di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang berlaku dalam komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Ia berdasarkan keputusan ujian makmal yang mengesahkan 37 daripada 112 kes membabitkan komuniti orang asli itu disebabkan wabak berkenaan termasuk tiga kematian disahkan setakat ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia