Pembebasan Anwar, kembali aktif warnai politik tanah air

Anwar Ibrahim
A
A

SEREMBAN - Tahun 2018 bukan sahaja menyaksikan PRU14 yang mengubah landskap politik negara ekoran perubahan kerajaan baharu tetapi juga membawa bersama kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang tokoh penuh warna-warni.

Menamatkan episod 20 tahun beliau keluar, masuk penjara selepas menerima pengampunan dan pembebasan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lepas, Anwar, 71, merupakan ahli politik berpengaruh.

Selepas sekian lama tidak bergiat aktif dalam politik, penampilan semula Presiden PKR itu sangat dinantikan dan ia adalah usaha PHyang dianggotai PKR, DAP, Bersatu dan Amanah yang berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14 Mei lepas dan menggunakan semua saluran undang-undang untuk membebaskan Anwar daripada hukuman penjara lima tahun berhubung sabitan jenayah kes liwat.

Ini sekali gus membolehkan bekas timbalan perdana menteri itu kembali aktif dalam politik dan menjadi pemimpin utama PH, dan seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan.

Figura politik itu, yang mewarnai landskap politik tanah air sama ada di dalam penjara atau di luar penjara dalam tempoh dua dekad, membuat kenyataan pertamanya di khalayak menerusi sidang media di kediamannya di Kuala Lumpur sebaik sahaja dibebaskan, iaitu seminggu selepas PH diberi mandat dalam PRU14.

Kesediaan Anwar memaafkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, lantas menjalin semula persahabatan dan mengadakan kerjasama politik membuahkan hasil dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk melakukan perubahan sehingga gabungan PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional yang telah 61 tahun berkuasa.

Melupakan ‘perselisihan’ Anwar, dilihat berjiwa besar untuk bekerjasama dengan Dr Mahathir selaku Pengerusi Bersatu dan PH, demi negara dan berharap kerjasama mereka berupaya mengembalikan kegemilangan Malaysia, yang penah dikenali sebagai Harimau Asia.

Gandingan Dr Mahathir-Anwar menyatukan kekuatan PH, dan akhirnya menerajui kerajaan Malaysia.

Bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat, ‘Langkah Port Dickson’ dilaksanakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengumumkan untuk mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada bekas menteri kewangan itu bertanding.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson (dahulu Telok Kemang) 13 Okt lepas, Anwar menang selesa dengan memperoleh majoriti 23,560 undi, menewaskan enam pencabarnya iaitu seorang daripada PAS dan lima calon Bebas pada PRK itu, sekali gus membuktikan dirinya diterima masyarakat di luar zon selesanya iaitu Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Pada PRK tujuh penjuru itu, Anwar, yang memperoleh 31,016 undi, menewaskan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar (7,456 undi) dan lima calon Bebas merangkumi bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan (82), bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (4,230), Lau Seck Yan (214), Stevie Chan (337) dan Kan Chee Yuen (154).

Dua hari selepas memenangi PRK berkenaan, Anggota Parlimen Port Dickson itu kemudiannya mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Rakyat di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof pada 15 Okt.

Penampilan semula Anwar ke Parlimen disambut baik dan mendapat reaksi positif daripada pelbagai pihak termasuk anggota Kabinet. Kegembiraan itu turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Anwar yang melahirkan rasa syukur atas 'kepulangan' Anwar ke Parlimen selepas kali terakhir tampil di Parlimen pada 2015 selaku Ketua Pembangkang.

Sekembalinya Anwar ke Dewan Rakyat, beliau bertekad untuk menambah baik dan memperkukuh kedudukan Parlimen sejajar dengan tanggungjawab terbaharunya itu.

Sebelum ini, kali terakhir Anwar bertanding adalah pada PRU13 pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan Anwar sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Kemunculan semula Anwar diterima baik pemimpin antarabangsa. Sebaik sahaja dibebaskan, beliau menyertai Dr Wan Azizah mengunjungi Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada 19 Mei dan turut mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia, di Jakarta, keesokannya.

Anwar turut menerima pengiktirafan antarabangsa dan diundang Presiden Tukri Recep Tayyip Erdogan ke negara berkenaan pada 21 Jun dan dijemput sebanyak tiga kali ke Singapura.

Di Singapura, Anwar diberikan penghormatan untuk berucap pada Dialog Pembiayaan S Rajaratnam, program penting dalam Sidang Kemuncak Singapura 2018 pada 15 Sept lepas, Siri Syarahan Kepimpinan Ho Rih Hwa dan Forum Ekonomi Baharu Bloomberg tentang topik “Usaha Malaysia untuk Akauntabiliti Demokrasi”, masing-masing pada 20 Sept dan 6 Nov lepas.

Pada 9 Nov, Anwar menerima anugerah kepimpinan ‘Patron’s Distinguished Benevolence Leadership Award’ daripada Forum Ekonomi China Dunia (WCEF) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Anggota Parlimen Port Dickson itu sebagai tokoh pemimpin politik Malaysia dan ikon antarabangsa bagi demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia.

Anwar turut menerima ucapan tahniah atas kemenangannya pada PRK Parlimen Port Dickson daripada Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc pada 25 Okt yang disampaikan menerusi Dr Wan Azizah semasa mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke negara itu. - Bernama