'Saya yakin kerja orang dalam'

Azmin ketika menghadiri program Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Shah Alam semalam.
Azmin ketika menghadiri program Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium PCSB-MGB dan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Shah Alam semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yakin penularan video intim kontroversi yang dikaitkan dengannya dilakukan oleh pihak dalaman parti.

"Saya yakin, saya yakin," katanya ketika ditanya mengenai keyakinannya bahawa dalang yang tularkan video itu adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian hak pembangunan antara Konsortium PCSB-MGB dengan Must Ehsan Development Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu juga yakin penularan video kontroversi itu merupakan agenda politik pihak tertentu yang mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik

"Saya yakin, umum akan dapat melihat siapakah dalang dalam hal ini.

"Biar polis jalankan siasatan. Saya rasa tidak adil sekiranya (ada) individu (tertentu) membuat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan," katanya.

Katanya, sejak awal lagi beliau yakin bahawa perbuatan penyebaran video tersebut sebagai perbuatan gutter politic dan fitnah yang berniat jahat serta memberitahu telah memberi keterangan mengenai video tersebut kepada pihak polis semalam.

"Saya telah menyatakan sebelum ini bahawa akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, Ahad lalu saya dimaklumkan polis telah menghubungi pegawai saya bagi merakamkan keterangan.

Artikel Berkaitan:

"Namun pada hari Ahad saya berada di Pulau Pinang untuk beberapa program. Sekembalinya saya dari Pulau Pinang, saya telah berikan keutamaan untuk merakamkan keterangan saya.

"Semalam pihak polis telah merakamkan keterangan daripada saya berhubung laporan polis yang dibuat oleh setiausaha politik saya, saudara Hilman dan beberapa orang lagi telah dipanggil," katanya.

Menurutnya, beliau turut mengambil tindakan untuk membersihkan namanya.

"Saya telah mengambil tindakan untuk membersihkan nama saya selain daripada laporan qazaf, laporan polis dan juga tindakan lain yang mungkin diberikan nasihat oleh peguam saya," katanya.

Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet.

Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, memuat naik video pengakuan itu berdurasi 30 saat itu di akaun Facebooknya dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat.

Haziq berkata, perlakuan itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan.

Pada Jumaat lalu, Haziq ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa untuk ke Manila, Filipina.

Haziq kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas 24 jam ditahan bagi membantu siasatan.