Kerani putih mata kerugian RM42,000

Mohd Wazir Mohd Yusof
Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KUANTAN - Gara-gara berurusan dengan syarikat pinjaman wang meragukan melalui internet, seorang kerani berputih mata apabila kerugian lebih RM42,000 sedangkan wang RM50,000 yang mahu dipinjam langsung tidak diterima.

Kejadian menimpa mangsa berusia 28 tahun dari Mentakab itu berlaku selepas dia membuat carian syarikat pinjaman wang atas talian pada 13 Jun lalu untuk membuat pinjaman peribadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa menemui pihak yang menyediakan pinjaman itu dan berurusan dengan seorang lelaki sebelum mengemukakan beberapa dokumen termasuk penyata bank dan salinan kad pengenalan untuk proses permohonan.

Menurutnya, mangsa diminta menjelaskan RM4,130 untuk duti setem dan kos proses sebelum permohonannya diluluskan.

“Mangsa membuat bayaran diminta melalui akaun bank atas nama seorang lelaki dan suspek juga turut meminta mangsa membuat beberapa bayaran lain dengan pelbagai alasan membabitkan jumlah keseluruhan mencecah RM42,230.

“Mangsa membuat bayaran itu secara berperingkat ke akaun yang berbeza namun selepas semua bayaran dibuat, dia langsung tidak menerima wang yang dipinjamkan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga apabila wang yang sudah dibayar hampir sama dengan jumlah yang mahu dipinjam, namun wang pinjaman tersebut langsung tidak diterima.

“Mangsa yang sedar dia ditipu membuat laporan polis semalam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, susulan kes itu, pihaknya mengesan dua individu yang juga pemilik dua akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang peniaga menerima nasib sama apabila kerugian RM11,000 selepas terpedaya dalam urusan tukaran wang tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial WeChat.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 40 tahun dari Temerloh menghantar pesanan melalui sebuah akaun WeChat untuk urusan menukar mata wang Malaysia kepada mata wang China bagi pembelian rantai kristal dari negara berkenaan 16 Jun lalu.

Menurutnya, mangsa membuah pemindahan wang RM11,000 secara atas talian ke akaun bank atas nama seorang lelaki.

“Suspek berjanji akaun menukarnya dan mata wang China itu akan dimasukkan ke dalam akaunnya.

"Bagaimanapun, sehingga semalam mangsa belum menerima tukaran wang itu lalu membuat laporan polis selepas syak dia ditipu,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan.