Parlimen kecoh gara-gara ‘Kerajaan Muhyiddin’

Shahidan bangkit dengan meminta Alice mengambil maklum dan memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.
Shahidan bangkit dengan meminta Alice mengambil maklum dan memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15 yang baharu sahaja membuka tirai pada Isnin mengundang kekecohan apabila Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengeluarkan istilah ‘Kerajaan Muhyiddin’.

Kekecohan itu berlaku setelah Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) membacakan aturan mesyuarat supaya Guan Eng menarik semula kenyataan tersebut.

Begitupun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong tidak meneruskan perkara tersebut dan meminta supaya persidangan diteruskan.

Justeru, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) bangkit dengan meminta Alice mengambil maklum dan memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.

“Yang berhormat speaker, peraturan mesyuarat telah dikeluarkan. Kalau tidak setuju, sebut tidak setuju. Apa guna peraturan mesyuarat,” ujarnya.

Setelah itu, satu pertelingkahan berlaku di antara Shahidan dan Gobind Singh Deo (Damansara-PN) yang sedang bersedia untuk bertanyakan soalan semasa persidangan itu.

“Kita datang ke Parlimen, saya tanya soalan nak minta jawapan. Kenapa dibiarkan begitu. Dia (Shahidan) tidak faham standing order. Boleh kita teruskan soalan kita Yang di-Pertua?" soal Gobind.

“Saya tanya Bagan, bukan kamu. Saya tanya Bagan,” balas Shahidan dengan nada tinggi.

Bagaimanapun Alice mengulangi supaya Ahli Parlimen Arau bertenang dan duduk di kerusinya bagi meneruskan persidangan tersebut.

Namun, keadaan masih berlarutan apabila Datuk Awang Solahuddin Hashim (Pendang-PN) bangkit bagi menyatakan ketidakpuasan apabila Alice tidak memberikan keputusan terhadap perkara tersebut.

“Kalau sudah tidak ada keputusan, runding berkenaan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kita panggil kerajaan Anwar,” katanya.