Rampas kereta anak kerana ibu gagal bayar pinjaman wang

Tangkap layar klip video yang memaparkan sekumpulan lelaki menarik keluar pemandu kereta lalu membawa lari kenderaan tersebut dalam kejadian pada Rabu lalu.
Tangkap layar klip video yang memaparkan sekumpulan lelaki menarik keluar pemandu kereta lalu membawa lari kenderaan tersebut dalam kejadian pada Rabu lalu.
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes rampasan sebuah kereta Perodua Axia daripada seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bagan Lalang, Butterworth.

Kejadian itu berlaku pada jam 7.45 pagi, Rabu lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia 49, 29 dan 27 tahun itu ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu Seberang Jaya, Butterworth dan Kuala Kangsar pada Khamis.

Kejadian tersebut sempat dirakam orang awam yang berada di lokasi sebelum satu klip video berdurasi satu minit dua saat itu tular di media sosial.

Dalam video tersebut, kelihatan sekumpulan lelaki menarik pemandu kereta lalu membawa lari kenderaan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan dijalankan mendapati, kejadian berlaku selepas ibu kepada pemandu kenderaan tersebut membuat pinjaman wang sebanyak RM100,000 dengan seorang lelaki pada tahun 2020 namun gagal untuk membayarnya.

Menurutnya, wanita berusia 57 tahun itu telah bersetuju untuk menyerahkan kereta Perodua Axia melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar balik pinjaman tersebut.

"Selepas wanita tersebut gagal membayar pinjaman dibuatnya, maka kereta tersebut dirampas seperti dalam kejadian yang ditularkan itu. Lelaki yang memandu ketika kejadian adalah anak kepada wanita berkenaan.

"Selepas wanita itu gagal untuk membayar balik wang pinjaman, maka pemberi pinjaman telah mengupah orang untuk merampas kereta anaknya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan dan pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

"Semasa tangkapan, ketiga-tiga suspek berada di bawah pengaruh dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan," katanya.

Mohd Asri menambah, polis masih mengesan suspek yang masih bebas dan dipercayai turut terlibat dalam kes terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menularkan video kejadian berkenaan. Mereka boleh merujuk kepada pihak berkenaan untuk pengesahan maklumat yang sahih.

Sebelum ini tular satu klip video memaparkan sekumpulan lelaki menarik keluar pemandu Perodua Axia dari keretanya sebelum salah seorang daripada mereka masuk ke bahagian belakang kereta.

Mangsa kemudiannya meminta tolong daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Apabila salah seorang penunggang motosikal bertanya kepada mangsa tentang kejadian itu, dia memberitahu bahawa mereka telah mencuri keretanya.

Sekumpulan penunggang motosikal kemudiannya dilihat mengejar kereta yang dibawa lari itu.

Kereta tersebut juga hampir melanggar seorang penunggang basikal yang berada di lokasi kejadian.