Kes rampas kereta: Pemberi pinjaman wang ditahan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kes rampasan sebuah kereta Perodua Axia daripada seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bagan Lalang, Butterworth.

Pada Khamis, polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian pada Rabu lalu di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bagan Lalang, Butterworth.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, dua lelaki tersebut adalah pemberi pinjaman wang manakala seorang lagi didapati turut terlibat dalam kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di sekitar negeri ini antara jam 3 hingga 4 pagi Jumaat.

"Polis mendapat perintah reman bagi kelima-lima suspek bermula hari ini sehingga 6 Jun ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya, polis turut merampas sebuah kenderaan dan pakaian yang digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Sebelum ini, tular satu klip video yang memaparkan sekumpulan lelaki telah menarik pemandu kereta lalu membawa lari kenderaan berkenaan.

Bagaimanapun, selepas siasatan yang dijalankan, didapati kejadian itu berlaku selepas ibu kepada pemandu kenderaan tersebut telah membuat pinjaman wang sebanyak RM100,000 dengan seorang lelaki pada tahun 2020 namun gagal untuk membayarnya.

Wanita berusia 57 tahun itu telah bersetuju untuk menyerahkan kereta Perodua Axia milik anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar balik pinjaman tersebut.

Selepas gagal membayar pinjaman yang dibuatnya, kereta tersebut telah dirampas oleh sekumpulan lelaki dipercayai diupah oleh peminjam wang berkenaan.

Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa pada hari sama, dia mendakwa didatangi sebuah kereta yang dinaiki beberapa orang lelaki ketika menunggu di persimpangan lampu isyarat.

Mangsa mendakwa ditarik keluar dari kereta sebelum ia dipandu oleh salah seorang lelaki daripada kumpulan tersebut.

Sebelum ini tular satu klip video memaparkan sekumpulan lelaki menarik keluar pemandu Perodua Axia dari keretanya sebelum salah seorang daripada mereka masuk ke bahagian belakang kereta.

Mangsa kemudiannya meminta tolong daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Apabila salah seorang penunggang motosikal bertanya kepada mangsa tentang kejadian itu, dia memberitahu bahawa mereka telah mencuri keretanya.

Sekumpulan penunggang motosikal kemudiannya dilihat mengejar kereta yang dibawa lari itu.

Kereta tersebut juga hampir melanggar seorang penunggang basikal yang berada di lokasi kejadian.