Pas istiqamah tolak sebarang bentuk fitnah

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
A
A

KUALA NERUS - Pas istiqamah menolak sebarang bentuk fitnah dan skandal untuk dijadikan bahan politik murahan bagi menjatuhkan rakan dan lawan.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, parti itu menegaskan betapa pentingnya undang-undang Islam diperkasakan dari sudut kadar hukuman melibatkan qazaf atau tuduhan melakukan zina.

Menurutnya, ia mampu menyelamatkan masyarakat daripada dihidangkan video intim yang menyasarkan orang-orang politik dan penguasa termasuk video intim songsang.

"Pengakuan pelaku hanya mensabitkan kesalahan pelaku tetapi tidak menjadi bukti mensabitkan pasangan pelaku. Itu sistem keterangan dan pembuktian Islam. Sangat adil dan tidak menzalimi manusia," katanya malam tadi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, Pas menolak video menjadi bukti atas apa-apa dakwaan kesalahan tanpa sokongan lain kerana ia terdedah kepada manipulasi dan penipuan.

"Dan lebih penting asas pada penghakiman Islam ialah seseorang itu bebas daripada sebarang kesalahan sehinggalah dibuktikan sebaliknya di mahkamah.

"Menteri yang dikaitkan dengan pelakuan intim itu tidak perlu meletakkan jawatan atau bercuti hanya semata-mata kerana tuduhan," katanya.

Beliau berkata, jika ia menjadi amalan, ramai akan membuat pelbagai tuduhan sebagai alasan untuk seseorang meletakkan jawatan sedangkan pembuktian yang kukuh gagal dikemukakan.

"Atau hanya menggunakan khabar angin semata-mata atau perkhabaran individu yang tidak boleh dipercayai dan diragui kredibilitinya," katanya.

Katanya, sistem perundangan Islam sangat adil tapi malang ia tidak menjadi sandaran sebahagian masyarakat Islam itu sendiri.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia