Cadangan pembinaan terminal bot Melaka Rivercruise baharu

Azlan Abidin
A
A

MELAKA - Terminal Bersepadu Antarabangsa Melaka Rivercruise antara mercu tanda pelancongan baharu di negeri ini, yang dicadangkan pembinaannya di muara Sungai Melaka.

Perancangan terminal bersepadu bagi produk pelancongan air di Bandaraya Melaka itu, bakal menempatkan kemudahan perhotelan selain memudahkan pelancong yang memasuki negara ini melalui jeti Jabatan Imigresen di ICQS Melaka, terus menikmati keindahan Sungai Melaka menggunakan bot Melaka Rivercruise.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, projek pembangunan Terminal Antarabangsa Melaka Rivercruise itu di peringkat menunggu kelulusan kerajaan negeri.

“Pembinaannya akan bersambung dengan Kompleks ICQS dan projek ini akan dibangunkan syarikat swasta. Kita tidak dapat dedahkan lagi kos pembangunannya namun yang pasti, ia juga akan menempatkan sebuah hotel," katanya, ditemui selepas perasmian Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Melaka 2019 di Muara Sungai Melaka, Banda Hilir, di sini, hari ini.

Menurutnya, bot Melaka Rivercruise antara produk pelancongan negeri ini yang mendapat sambutan tinggi pelancong, apabila lebih 1 juta pelancong menaiki Melaka Rivercruise sepanjang tahun lalu.

Tambahnya, jeti Melaka Rivercruise di Pengkalan Rama sedang dibaikpulih dan dijangka siap sepenuhnya Julai ini sebelum memulakan operasi pada Ogos.

“Apabila jeti di Pengkalan Rama bermula, dijangka memanfaankan 50 hingga 60 peniaga tempatan untuk menambah pendapatan selain memajukan lagi sektor pelancongan di Melaka Rivercruise," katanya.