MPK lancar operasi besar-besaran kilang plastik haram

Mohamad Yasid (empat dari kanan) ketika merasmikan program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019 di Galeri Jualan Gravit8, hari ini.
Mohamad Yasid (empat dari kanan) ketika merasmikan program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019 di Galeri Jualan Gravit8, hari ini.
A
A
A

KLANG - Pemilik kilang plastik haram di daerah ini diberi amaran supaya menutup kilang mereka sekiranya tidak mahu dikenakan kompaun atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, gesaan itu dibuat berikutan masih ada kilang terbabit giat beroperasi terutama di Telok Gong dan Pulau Indah di Pelabuhan Klang.

Menurut beliau, MPK akan melaksanakan operasi membanteras kilang plastik haram secara besar-besaran bermula minggu hadapan.

“Operasi ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut. Bermula minggu hadapan, MPK bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang ini.

“Oleh itu saya menasihatkan kepada operator-operator supaya menutup kilang sebelum mereka dikenakan kompaun atau dibawa ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019 di Galeri Jualan Gravit8, di sini hari ini.

Kata Mohamad Yasid, sebanyak 47 kilang plastik haram direkodkan di Klang dan sembilan daripadanya sudah ditutup manakala sebuah lagi kilang didakwa ke mahkamah.

“Kilang ditutup melibatkan kilang baharu dan ada kita menghadapi sedikit kesukaran (tindakan) apabila ada sebahagian kilang lama berdaftar di bawah program pemutihan kilang haram.

“Ada yang diberikan kebenaran kerana tanah itu ditukar kepada industri, namun terdapat banyak masalah menyebabkan ia tidak boleh lagi beroperasi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, satu ‘task force’ membabitkan pejabat tanah dan daerah Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor, polis dan lain-lain jabatan berkaitan ditubuhkan bagi menangani kilang plastik haram.

‘Kita juga menubuhkan unit khas penguatkuasaan pemeriksaan pelesenan kilang dan ia ditugaskan untuk memeriksa dari kilang ke kilang serta mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan.

“Kompaun dikenakan agak tinggi iaitu RM125,000, ini termasuk pekerja-pekerja haram yang membabitkan Jabatan Imigresen,” katanya.

Tambah Mohamad Yasid lagi, beliau menasihatkan mana-mana pemilik kilang baharu perlu mengikut peraturan sedia ada, malah MPK sedia mendengar sebarang masalah atau pertanyaan.

“Mereka boleh berjumpa dengan saya dan pengarah jabatan jika terdapat kemusykilan, kami boleh memberi penerangan lebih lanjut pada setiap Jumaat,” katanya.