Guan Eng nasihat media jangan jadi alat syarikat swasta

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

BATU KAWAN - Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menasihatkan media agar tidak menjadi alat untuk kepentingan pihak swasta dalam meraih publisiti untuk projek mereka.

Menurutnya, spekulasi mengenai cadangan projek pembinaan dua lapangan terbang baharu di negeri ini perlu dihentikan kerana ia adalah berita palsu.

Tambahnya, semua media terutamanya arus perdana perlu profesional dalam melaporkan setiap berita dan tidak melayan berita palsu.

"Jangan siar dan mainkan berita palsu kerana ia tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak. Saya hairan, kenapa media masih mahu melayan berita palsu ini dengan menjadikan berita muka depan suratkhabar mereka.

"Saya harap, media terutamanya arus perdana tidak menjadi alat untuk kepentingan syarikat swasta dalam meraih publisiti dengan menyiarkan berita tidak berasas. Pihak swasta ini hanya menggunakan media untuk mempromosi projek mereka.

"Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada syarikat media terlibat turut mempunyai kepentingan iaitu meraih keuntungan dalam penjualan suratkhabar dengan menyiarkan berita palsu seperti itu," katanya kepada media selepas merasmikan kilang Hotayi Electronic (M) Sdn Bhd, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan bahawa terdapat cadangan pembinaan dua buah lapangan terbang baharu di Pulau Pinang oleh dua syarikat swasta.

Guan Eng berkata, dakwaan tersebut adalah tindakan tidak bertanggungjawab berikutan semua pihak tidak tahu menahu termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak tidak tahu, termasuk saya dan Tun. Malah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow juga tidak tahu, sedangkan sebarang pembangunan di negeri ini perlu dimaklumkan kepada Kerajaan Pulau Pinang terlebih dahulu.

"Laporan itu adalah sesuatu yang besar kerana kononnya melibatkan pembinaan di kawasan tambak laut seluas 5,000 hektar. Tidak ada kertas cadangan yang dikatakan telah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri seperti dilaporkan. Semua itu palsu," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow memgesahkan pihaknya tidak dimaklumkan berhubung cadangan pembinaan dua buah lapangan terbang seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, sekiranya benar ada cadangan pembinaan dua buah lapangan terbang itu, pihaknya akan menunggu pembentangan kertas cadangan tersebut dibuat.

Sebelum itu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan, terdapat dua syarikat bercadang membina lapangan terbang baharu di dua lokasi berbeza di Seberang Perai Selatan (SPS) iaitu di tanah besar Pulau Pinang.

Menurut laporan itu lagi, difahamkan dua buah syarikat swasta menyatakan cadangannya itu kepada kerajaan Persekutuan untuk membina lapangan terbang baharu di Pulau Pinang.

Diercayai, cadangan pertama yang dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) itu akan melibatkan pengambilan beribu-ribu hektar tanah kawasan tanaman padi.

Sementara itu, cadangan kedua dikenali sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA) melibatkan pengambilan balik 5,000 hektar tanah di kawasan pantai di SPS.