‘Perkampungan’ warga Afrika digempur

Penduduk membuat aduan kehadiran Warga Afrika menimbulkan kacau ganggu ketenteraman awam. - Foto imigresen
Penduduk membuat aduan kehadiran Warga Afrika menimbulkan kacau ganggu ketenteraman awam. - Foto imigresen
A
A
A

KAJANG - [DIKEMASKINI] ‘Perkampungan’ warga Nigeria di sebuah pangsapuri di Kajang digempur Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) malam tadi.

Hasilnya, Imigresen memeriksa 118 warga asing dan menahan 78 warga Nigeria. Turut ditahan enam warga Filipina, masing-masing satu warga Pakistan dan India serta empat kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.

Sinar Harian difahamkan, perkampungan warga Nigeria itu lengkap dengan aktiviti jual beli seperti barangan runcit, pakaian serta kegiatan memasak dan penjualan makanan sesama komuniti mereka.

Malah ada sebuah unit yang dijadikan pusat hiburan khas untuk komuniti itu berhibur yang turut menjual secara haram minuman keras.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi dilancarkan hasil maklumat dikongsi persatuan penduduk.

“Mereka (warga Nigeria) didapati membuat bising, mabuk serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk tempatan,” katanya kepada media di lokasi serbuan.

Menurutnya, kebanyakan yang ditahan terdiri daripada pelajar yang telah tamat tempoh sah laku visa, pelancong yang telah tamat tempoh pas lawatan sosial serta yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Dalam operasi ini, Imigresen terpaksa memecahkan kebanyakan pintu apartmen kerana tidak mendapat kerjasama dari warga asing yang dipercayai menjalankan kegiatan penipuan atas talian (scam).

Artikel Berkaitan:

“Kami mendapati, terdapat sebahagian warga Afrika ini menjalankan kegiatan penipuan terhadap warga tempatan susulan penemuan laptop yang memaparkan Facebook dan WhatsApp dengan maklumat mencurigakan.

“Maklumat ini akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut pasukan itu,” katanya.

Khairul berkata, sepanjang melakukan operasi serbuan itu, pihaknya berhadapan dengan sedikit cabaran apabila ada warga asing yang bertindak ganas untuk melarikan diri sehingga memaksa pegawai Imigresen bergelut bagi menahan mereka.

“Akibatnya, ada pegawai Imigresen yang mengalami kecederaan ringan. Imigresen akan terus menjalankan operasi seperti ini secara lebih agresif kerana rakyat tempatan tidak selesa dengan kedatangan warga asing ini yang menimbulkan kacau ganggu.

“Imigresen juga akan memanjangkan maklumat ini kepada Majlis Perbandaran Kajang untuk mereka menjalankan siasatan sewajarnya berkaitan penyewaan premis kepada pendatang asing tanpa izin dan sebagainya,” katanya.

Dalam serbuan berasingan, Imigresen turut menahan 40 warga asing di sebuah pusat hiburan di Puchong dan semua tahanan terbabit dibawa lokap Imigresen Putrajaya sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil atau Semenyih, Selangor.