Lando pasang lampu di terowong gelap lorong motosikal

Lando (depan) bersama ahli kumpulan pemantau Ikatan Silaturahim-Brotherhood Malaysia tampil dengan inisiatif pemasangan lampu LEMSS di terowong motosikal bagi mengembalikan keyakinan serta rasa selamat di kalangan penunggang motosikal.
Lando (depan) bersama ahli kumpulan pemantau Ikatan Silaturahim-Brotherhood Malaysia tampil dengan inisiatif pemasangan lampu LEMSS di terowong motosikal bagi mengembalikan keyakinan serta rasa selamat di kalangan penunggang motosikal.
A
A
A

SHAH ALAM - Prihatin dengan keresahan dalam kalangan penunggang motosikal yang bimbang untuk melalui terowong gelap di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan, menyebabkan kumpulan pemantau Ikatan Silaturahim-Brotherhood tampil dengan inisiatif menjadikan laluan tersebut lebih selamat.

Pengasasnya, Azlan Sani Zawawi atau Lando Zawawi berkata, dia bersama kumpulannya menghasilkan satu sistem lampu yang digabungkan dengan tiga ciri iaitu lampu LED, solar dan juga alat pengesan pergerakan untuk dipasang di terowong berkenaan.

Menurutnya, sistem lampu itu diberi nama LED-motion sensor-solar Brotherhood (LEMSS).

Terdapat 18 terowong di laluan motosikal terbabit dan Lando Zawaei bersama kumpulannya memilih terowong sebelum bekas tapak plaza tol Batu Tiga menghala Klang untuk ujian pemasangan lampu tersebut.

"Kita dah pasang lima unit lampu tersebut semalam di situ untuk lihat dari segi pendawaian serta menguji keberkesanannya.

"Kita uji dengan bawa motosikal dan apabila motosikal ditunggang menghampiri terowong, lampu dipasang terus menyala kerana ia dilengkapi dengan alat pengesan pergerakan.. alhamdulillah berjaya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurutnya, lampu tersebut akan terpadam sendiri jika tiada kenderaan melalui laluan itu.

Artikel Berkaitan:

Sistem lampu LEMSS yang dipasang di salah satu terowong di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, semalam.
Sistem lampu LEMSS yang dipasang di salah satu terowong di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, semalam.

Katanya, dia bersama kumpulannya akan memasang 15 unit lagi lampu di terowong sama berukuran 200 meter itu bagi memastikan ia benar-benar terang ketika dilalui penunggang motosikal.

"Kita akan pantau terowong ini dalam tempoh seminggu untuk memastikan ia benar-benar berkesan.

"Pemasangan lampu ini akan kita perluaskan ke terowong-terowong lain di laluan motosikal Persekutuan Lebuhraya ini termasuk juga kawasan kampung yang tiada lampu jalan dalam tempoh terdekat, " katanya dan memberitahu kos menghasilkan lampu tersebut hanya kira-kira RM300.

Katanya, idea untuk memasang lampu di terowong laluan motosikal ini timbul selepas melihat keadaan di laluan tersebut yang tidak diselenggara dengan baik, selain gelap dan membahayakan pada waktu malam.

"Kita buat kaji selidik melalui Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia dan dapati antara punca orang tak nak guna laluan motosikal sebab bimbang keselamatan diri mereka.

"Jadi bila kami tampil dengan inisiatif ini diharap dapat menggalakkan serta memberi keyakinan untuk mereka rasa selamat menggunakan laluan tersebut.. selain itu, boleh elak dari kena saman, "katanya memberitahu menerima maklum balas positif daripada orang ramai.