Ismee nafi SRC International cetus cadangan tukar pemilikan

Tan Sri Ismee Ismail - Foto Bernama
Tan Sri Ismee Ismail - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Ismee Ismail menafikan cadangan untuk menukar pemilikan syarikat itu daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), dicetuskan oleh SRC International Sdn Bhd (SRC International) sendiri.

Ismee, 54, bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC International, ketika disoal balas oleh peguam Harvinderjit Singh, berkata, penukaran pemilikan itu diluluskan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada Februari 2012 selaku Perdana Menteri ketika itu melalui arahan MKD.

Terdahulu, Harvinderjit, yang mewakili Najib, menunjukkan minit mesyuarat Lembaga Pengarah SRC International pada Februari 2012 kepada Ismee sebelum mengemukakan soalan kepada saksi ke-39 pendakwaan itu.

Peguam itu juga mencadangkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil telah memaklumkan kepada Lembaga Pengarah berhubung arahan untuk menukar pemilikan syarikat tersebut.

Ismee, yang juga bekas ahli Lembaga Pengarah SRC International, bersetuju dengan cadangan itu dan mengakui bahawa selain apa yang didedahkan dalam minit mesyuarat itu, beliau tidak dimaklumkan bagaimana isu penukaran pemilikan itu timbul.

Menurut surat tersebut, Harvinderjit mencadangkan bahawa kandungannya menyatakan pada 17 Jan 2012 terdapat mesyuarat di antara bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang juga mengetuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan SRC International.

Harvinderjit: “Surat ini juga menyebut bahawa SRC telah mengarahkan penukaran pemilikan?

Ismee: “Saya tidak setuju.”

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ismee bersetuju bahawa Najib tidak pernah menjadi penandatangan akaun bank SRC International dan dengan itu tidak mungkin terlibat secara langsung dalam pengeluaran RM1.8 bilion untuk pelaburan luar negara.

Harvinderjit: “Perdana Menteri sebagai Penasihat Emeritus (kepada SRC International) tidak pernah menjadi penandatangan mana-mana akaun SRC International?

Ismee: “Ya".

Terdahulu, Harvinderjit memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembelaan akan memutuskan kemudian permohonan mereka untuk mencabar keterangan Ismee dalam perbicaraan di mana mereka mendakwa ia tidak konsisten dengan penyata saksi yang dibacakan di mahkamah.

"Kami telah meneliti nota keterangan sejak empat hari lalu semasa perbicaraan dan kita akan memutuskan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum mengakhiri prosiding hari ini, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali meminta Harvinderjit sama ada pihak pembelaan mempunyai banyak soalan kepada saksi tersebut memandangkan beliau disoal sejak Selasa lalu.

Harvinderjit berkata sesi soal terhadap saksi itu akan berakhir Isnin ini.

Hakim turut mengingatkan Ismee untuk tidak membincangkan kes itu dengan orang awam kerana beliau belum dibebaskan sebagai saksi.

“Jangan risau, isteri saya tidak bertanya,”katanya yang menimbulkan deraian ketawa dari galeri awam.

Najib, 66, kini sedang dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.- Bernama