Satu kematian dicatat akibat denggi

A
A

JOHOR BAHRU – Satu kematian dicatatkan akibat denggi melibatkan kawasan Taman Sri Lambak, Kluang.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz berkata, kematian itu dilaporkan pada 9 Jun lepas.

“Sehingga kini, sebanyak 52 kes denggi dilaporkan di Taman Sri Lambak yang mana kejadian wabak ini berlaku kebanyakannya di sekitar Jalan Yakin.

“Notifikasi pertama diterima pada 9 Mei lepas. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak tiga kes telah dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom dengan satu kematian dilaporkan 9 Jun lepas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Selahuddeen berkata, hasil pemeriksaan pihak jabatan kesihatan di kawasan wabak mendapati, punca utama kejadian adalah pembiakan aedes yang tinggi.

“Faktor penyumbang utama adalah rumah-rumah kosong yang bersemak-samun serta kurang kerjasama penduduk semasa aktiviti semburan kabus (fogging) dilaksanakan anggota kesihatan.

“Di samping itu, penjagaan kebersihan persekitaran kediaman tidak memuaskan yang mana pembiakan aedes masih ditemui walaupun pemilik telah dikenakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata, pihak jabatan kesihatan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membanteras penularan demam denggi, termasuklah pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan (PTP) secara berterusan bermula tarikh notifikasi sehingga kini.

“Satu aktiviti ‘Walkabout’ telah diadakan di Taman Sri Lambak bagi meninjau keberkesanan aktiviti kawalan pada 10 Jun 2019. Aktiviti Larvaciding, Semburan RuangThermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) juga turut dijalankan di sekitar kawasan wabak setiap lima hingga tujuh hari.

“Aktiviti kawalan terus dipergiatkan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan yang mana penguatkuasaan tempat pembiakan dengan sebanyak 43 notis telah dikeluarkan untuk kawasan tersebut bagi tempoh wabak.

“Aktiviti pecah masuk bagi rumah kosong akan dilaksanakan seberapa segera bersama pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Tambahnya, gotong-royong bersama komuniti dan agensi-agensi berkaitan telah dilaksanakan pada 18 Mei lepas membabitkan Kawasan Rukun Tetangga Yakin Taman Sri lambak, Ahli Majlis Taman Sri Lambak, The Lions Club, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

“Advokasi dan promosi kesihatan yang mana mesyuarat wabak denggi luar biasa telah diadakan pada 11 Jun lepas dengan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Kluang dan dihadiri oleh ketua-ketua dari pelbagai agensi berkaitan.

“Aktiviti promosi dilaksanakan melalui edaran risalah kesihatan dan hebahan wabak denggi kepada masyarakat setempat, di samping hebahan di masjid melalui jawatankuasa masjid semasa solat Tarawih lalu,” katanya.

Beliau menasihatkan orang awam, khususnya di kawasan Taman Sri Lambak agar sentiasa peka dengan keselamatan dan kebersihan sekeliling kawasan rumah dan segera menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah.

“Sekiranya terdapat pembiakan aedes di premis kediaman, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan dan sekiranya gagal membayar kompaun, boleh didenda di mahkamah maksimum RM10,000," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia