Mungkin esok Ainul akan dipindahkan ke wad: Bapa

Gambar terkini Ainul yang dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin di Facebooknya hari ini.
Gambar terkini Ainul yang dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin di Facebooknya hari ini.
A
A
A
LONDON - Khabar gembira mengenai keadaan bayi Ainul Mardhiah terus dikongsikan bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, apabila bayinya itu berkemungkinan akan dipindahkan ke wad biasa, esok sekiranya kesihatannya bertambah baik.

Menurutnya, perkhabaran itu disampaikan sendiri jururawat yang menjaga anaknya di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sebuah hospital kanak-kanak di London.

“Keadaan Ainul semakin baik. Jika esok keadaannya bertambah baik seperti hari ini, Ainul akan dipindahkan ke wad yang biasa.

“Hari ini saya nampak dia senyum. Kuatnya dia,” kongsi Ahmad Safiuddin di laman Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Safiuddin juga berkongsi pada hantaran berbeza yang dia dan isteri, Nurul Erwani Idris tidak pasti berapa lama bayinya itu akan berada di sana.

“Kami tidak pasti. Dengar khabar, mungkin sebulan, mungkin lebih atau mungkin kurang dari sebulan.

“Mereka di sini mahu pantau Ainul dulu. Mereka mahu pastikan bahawa ketumbuhan itu tidak akan datang semula (Semoga ALLAH jauhkan). Jika mereka yakin yang Ainul bebas dari sebarang perkara yang tidak diingini (berulang), mungkin Ainul boleh balik.

“Sebenarnya, kami sebagai penjaganya boleh sahaja minta Ainul segera dibawa pulang. Tapi, demi kebaikan Ainul, kami akan selesaikan semua perkara penting di sini sebelum Ainul dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Tambahnya, mereka menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pakar yang lebih tahu dengan tugas mereka.
Artikel Berkaitan:


Katanya, biar doktor pakar putuskan bilakah masa sesuai untuk bayinya itu keluar dari hospital.

“Untuk masa terdekat ini, Ainul perlu dijaga dengan rapi, banyak perkara perlu diteliti selepas buat pembedahan. Selepas fasa ini selesai, berkemungkinan Ainul akan ada fasa 'Belajar makan guna mulut'.

“Doktor di sini mungkin akan cuba mengajar Ainul makan menggunakan mulut. Selain pernah memiliki ketumbuhan, ainul juga memiliki cleft palate.

“Pembedahan untuk cleft palate ini mungkin akan dibuat selepas Ainul dapat berat badan yang sesuai (6kg - 8kg),” katanya.

Mengulas mengenai bila Ainul akan pulang ke Malaysia, jawab Ahmad Safiuddin bergantung proses yang disebutkan tadi selesai.

“Bila semua di atas telah selesai, kami akan bawa Ainul pulang ke tanah air.

“Doakan Ainul Mardhiah ya. Saya yakin, jika Ainul boleh bercakap sekarang, mungkin dia akan ucap terima kasih kepada kalian semua. Sekarang ini, ucapan terima kasih itu ditunjukkan melalui kesihatan dan kekuatannya,” jelasnya.