Johor bangunkan tanah terbiar milik agensi kerajaan

Tosrin menyampaikan sumbangan kepada warga LPP Johor majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LPP Johor, di sini hari ini.
Tosrin menyampaikan sumbangan kepada warga LPP Johor majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri LPP Johor, di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor akan membangunkan tanah-tanah terbiar milik agensi kerajaan untuk dimajukan dengan penanaman nanas MD2 dan belimbing.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, pendekatan tersebut dilakukan menerusi Projek Revolusi Hijau Pembangunan Tanah-Tanah Terbiar Negeri Johor.

Menurutnya, hasrat berkenaan telah dibawa dan diluluskan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, baru-baru ini.

"Tanah terbiar di bawah agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Kejora dan Risda, cukup banyak. Dianggarkan terdapat hampir 1,000 hektar tanah terbiar di agensi-agensi ini termasuk Lembaga Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Johor, di sini hari ini.

Tosrin berkata, kertas cadangan penubuhan jawatankuasa pelaksanaan projek itu juga akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor minggu hadapan.

Katanya, sebagai permulaan, projek pertanian berkenaan bakal dilaksanakan di sebuah tanah rancangan Felda yang akan diumumkan kelak.

"Jabatan Pertanian Negeri Johor akan menjadi sekretariat utama projek ini, manakala jawatankuasa pelaksanaan akan turut disertai LPP Johor, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor serta Pejabat Tanah dan Galian Johor.

Artikel Berkaitan:

"Projek utama ini ialah kita menggerakkan tanah nanas MD2 di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, manakala belimbing dengan kerjasama MARDI," katanya.

Selain itu, beliau berkata, projek tersebut turut membabitkan tanaman selingan iaitu lada hitam yang digerakkan dengan kerjasama Lembaga Lada Malaysia.