Penduduk setinggan gesa campur tangan MB Perak

Khairul Shahril (empat kiri) menerima memorandum daripada Devathevasigamoney untuk diserahkan kepada Ahmad Faizal.
Khairul Shahril (empat kiri) menerima memorandum daripada Devathevasigamoney untuk diserahkan kepada Ahmad Faizal.
A
A
A

IPOH - Sekumpulan penduduk setinggan di Buntong, di sini, meminta campur tangan Menteri Besar Perak bagi memastikan pembangunan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bemban, Tronoh diteruskan seperti dijanjikan sebelum ini.

Wakil penduduk, Devathevasigamoney David John, 63, berkata, tapak RPT tersebut telah dijanjikan oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2012 dengan meluluskan tapak seluas kira-kira 58 hektar di Mukim Sungai Terap bagi mengatasi masalah setinggan di kawasan Buntong.

Katanya, pada tahun 2017, seramai 397 daripada 586 penduduk telah ditemuduga semula dan 133 penduduk dikenalpasti sebagai kumpulan pertama untuk menerima lot tanah di RPT tersebut.

"Kita kesal apabila tiba-tiba pada 9 Februari lalu diumumkan pemberian lot tersebut dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan diganti dengan unit rumah pangsa yang akan dibina di Buntong.

"Kesemua penduduk membantah pembatalan tersebut dan kita minta campur tangan Menteri Besar Perak untuk menyelesaikannya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak di luar pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau bersama-sama lebih 50 penduduk mengadakan demonstrasi secara aman membantah pembatalan RPT tersebut di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Hadir sama dalam demonstrasi itu, Pengerusi MIC Perak, Datuk V Elango dan beberapa pemimpin MIC Perak.

Artikel Berkaitan:

Demonstrasi secara aman dilakukan penduduk yang tidak berpuas hati dengan pembatalan lot tanah RPT Bemban di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Demonstrasi secara aman dilakukan penduduk yang tidak berpuas hati dengan pembatalan lot tanah RPT Bemban di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Devathevasigamoney berkata, Aahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam perlu tampil membantu penduduk mendapatkan semula tapak berkenaan memandangkan sebelum ini wakil rakyat tersebut begitu lantang bersuara mendesak kerajaan BN menyegerakan pemberian tersebut.

Katanya, bagaimanapun selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan negeri projek itu dibatalkan dan diganti dengan rumah pangsa.

Beliau berkata, semua penduduk tidak bersetuju dengan pertukaran tersebut dengan mendesak kerajaan negeri sekarang mengekalkan lot RPT sebelum ini.

Sementara itu, penyerahan memorandum dibuat sendiri oleh Devathevasigamoney kepada Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Khairul Shahril Amin.

Menurut Khairul Shahril, isu berkenaan sudah pun berada dalam pengetahuan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan memorandum berkenaan akan diserahkan dalam masa terdekat.

Katanya, Ahmad Faizal sebelum ini sudah pun mengarahkan kajian semula dan meminta cadangan terbaik dikemukakan bagi menyelesaikan isu tersebut.

Menurutnya, pengumuman lanjut mengenai isu berkenaan dijangka akan diketahui dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.