Geng curi motosikal tumpas

Noorzainy (kanan) menunjukkan palam pencucuh yang diubah suai untuk memecahkan cermin kenderaan.
Noorzainy (kanan) menunjukkan palam pencucuh yang diubah suai untuk memecahkan cermin kenderaan.
A
A
A

KEPALA BATAS - Empat lelaki termasuk seorang yang dikehendaki kerana melarikan diri daripada pengawasan perintah buang daerah sejak sebulan lalu ditahan polis selepas terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara,Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan jam 1 petang semalam di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor di sini.

Menurutnya, kumpulan berkenaan menyasarkan motosikal jenis Yamaha Y15 dan menjual dengan harga murah kepada pembeli serendah RM2,000 sebuah.

"Dalam Ops Lejang yang dijalankan semalam polis berjaya menemui semula tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini di kawasan Sungai Dua, Tikam Batu dan Kepala Batas.

"Selain itu kita sedang mengesan lagi lapan buah motosikal yang dicuri kumpulan terbabit dan dipercayai telah dijual sebelum ini," katanya pada sidang media di sini.

Noorzainy (kiri) menunjukkan motosikal curi yang berjaya ditemui semula
Noorzainy (kiri) menunjukkan motosikal curi yang berjaya ditemui semula

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati dalang dan ketua kumpulan terbabit yang berusia 28 tahun mempunyai kepakaran dalam jenayah mencuri motosikal.

Katanya, suspek berkenaan yang sebelum ini ditahan di bawah pengawasan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan dibuang daerah di Labu, Negeri Sembilan mengakui telah terlibat dengan 10 kes curi motosikal di mana enam dilakukan dikawasan SPU dan empat lagi di Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, siasatan mendapati motosikal yang dicuri akan dijual kepada pengedar dadah bagi mereka mendapatkan bekalan dadah.

"Kesemua suspek yang berusia 19 hingga 28 tahun kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut dan polis kini sedang mengesan seorang lagi rakan mereka dikenali sebagai Mat Poling yang dipercayai sedang menyembunyikan diri.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki berusia 19 dan 27 tahun kerana dipercayai terlibat dengan kes pecah kenderaan di kawasan tempat letak kereta Bukit Katak, Tasek Gelugor di sini.

Noorzainy berkata, tangkapan yang dibuat jam 10 pagi semalam hasil daripada risikan yang dilakukan selama seminggu di kawasan berkenaan selepas pihaknya menerima lapan laporan kejadian pecah kereta sejak pertengahan Mei lalu.

"Hasil daripada tangkapan itu kita berjaya merampas sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, pelbagai dokumen pengenalan diri dan lesen memandu, kad bank, beberapa komputer riba, alat pengimbas Smart Tag dan sebilah parang.

"Dua lelaki ini dipercayai menggunakan palam pencucuh yang telah diubah suai untuk memecahkan cermin kereta sebelum mereka melarikan pelbagai barangan berharga," katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek berkenaan mengakui terlibat dengan kes pecah kereta yang dilaporkan sebelum ini dan mengakui kawasan Bukit Katak tempat yang mudah untuk mereka mendapatkan wang.

"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.