Najib 'ketua paling besar' punyai pengaruh luluskan pinjaman KWAP

Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi untuk sambungan perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Makamah Kuala Lumpur. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pengaruh berhubung keputusan untuk meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Azian Mohd Noh, 66, berkata Najib, yang juga bekas menteri kewangan ketika itu, merupakan ‘ketua paling besar’ beliau, justeru, mempunyai kuasa berhubung keputusan KWAP untuk meluluskan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.

Azian, yang juga saksi ke-38 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan Najib.

Azian, yang kini bersara, berkata sungguhpun tidak terdapat pemaksaan yang sah, Najib masih mempunyai pengaruh pada tahap tertentu, disebabkan beliau adalah menteri kewangan dan hakikat bahawa Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki SRC International Sdn Bhd.

Ishak: Jelaskan apakah maksud 'pemaksaan' dan 'pengaruh' dalam keterangan Datuk sebelum ini?

Azian: Perkataan pemaksaan dan pengaruh memberi konotasi berbeza. Tidak ada sebarang pemaksaan yang sah tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama bagi perkataan pengaruh. Anotasi dalam surat (permohonan pinjaman SRC International) datang daripada perdana menteri dan menteri kewangan yang bertanggungjawab ke atas KWAP.

"Beliau adalah ketua paling besar saya, jadi saya tidak boleh nafikan terdapat pengaruh pada tahap tertentu,” katanya.

Ishak: Mengapa selepas KWAP mempertimbang untuk memberi RM1 bilion, anda perlu berjumpa dengan perdana menteri dan memaklumkan KWAP hanya boleh memberi RM1 bilion sahaja?

Azian: Itu adalah permintaan daripada panel pelaburan... seorang daripada anggota panel pelaburan tapi saya tidak ingat yang mana satu.”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung. - Bernama