Akta pelantikan jawatan awam utama perlu dipinda: Chong Sin

Chew Chong Sin
Chew Chong Sin
A
A
A

KLUANG – Pelantikan Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara dan lain-lain perlu diberikan jaminan tempoh jawatan selain pemecatan jawatan perlu dilakukan melalui mahkamah tribunal.

ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin berkata, akta pelantikan jawatan-jawatan awam utama ini juga perlu dipinda di mana pelantikan jawatan harus dicadangkan oleh Perdana Menteri dan diluluskan secara demokrasi di dalam Parlimen.

“Ini bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan dalam mengimbang kuasa jika berlaku kes penyelewengan kuasa oleh Perdana Menteri dan perkara ini juga dapat mengukuhkan sistem pentadbiran demokrasi negara yang terbahagi kepada tiga cabang kuasa.

“Peranan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk pelantikan Jawatan Awam Utama ini juga harus merangkumi pelantikan pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti isu pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif TM baru-baru ini,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, Latheefa Koya juga adalah mematuhi sistem perundangan negara pada masa kini kerana selaras dengan Seksyen 5(1) Akta SPRM 2009 iaitu Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan tersebut.

Bagaimanapun, selaras dengan objektif perundangan berdasarkan ‘Rule of Law’ dan juga objektif dalam mereformasikan institusi kerajaan, artikel-artikel perlembagaan dan akta-akta berkaitan pelantikan Jawatan Awam Utama perlu dipinda.

“Ini agar kelemahan struktur yang melibatkan prosedur pelantikan Jawatan Awam Utama yang memainkan peranan pencegahan rasuah dan penyelewengan seperti Ketua Polis Negara, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara dapat diperbaiki dan ditambahbaik.

“Perkara ini penting dan perlu diambil berat bagi mengelakkan berulangnya penyalahgunaan kuasa, autokrasi, kleptokrasi dan ketirisan serta penyelewengan di dalam pentadbiran negara pada hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, di bawah prosedur pelantikan yang digunapakai pada ketika ini, pelantikan Latheefa adalah melalui perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Oleh yang demikian, Perdana Menteri mempunyai kuasa prerogratif dalam melantik individu bagi jawatan tersebut dan ini adalah tidak menepati objektif dalam mereformasikan sistem demokrasi parlimen dan manfaat terbaik untuk negara,” katanya.