Kerajaan akan lakukan siasatan menyeluruh: Tengku Zulpuri

Zulpuri melihat anak-anak orang asli bersama ibunya menggunakan air tandak untuk mandi.
Zulpuri melihat anak-anak orang asli bersama ibunya menggunakan air tandak untuk mandi.
A
A
A

GUA MUSANG - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sehingga menyebabkan kematian 14 penduduk orang asli suku kaum Bateq di Kuala Koh, di sini.

Timbalannya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, pihaknya akan mengambil sedikit masa bagi mendapatkan keputusan sampel air di beberapa kawasan tadahan yang digunakan penduduk berkenaan.

Katanya, sebelum ini, komuniti orang asli mendakwa kematian yang berlaku disebabkan pencemaran dari aktiviti perlombongan bijih manganese atau keluli yang dijalankan di kawasan berhampiran.

"Dalam hal ini, kita tidak boleh membuat tuduhan sebelum siasatan dilakukan. Kita akan mengambil sedikit masa dan keputusan akan diumumkan dalam satu sidang media nanti.

Zulpuri mengambil sampel air di kawasan penempatan baharu orang asli.
Zulpuri mengambil sampel air di kawasan penempatan baharu orang asli.

"Bagaimanapun, kita turut membuat tinjauan di lokasi perlombongan. Kita bimbang sisa buangan dan bahan kimia dari lokasi perlombongan itu mengalir ke sungai sehingga memudaratkan pengguna kerana ia terletak di atas bukit," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di kawasan perlombongan, kawasan tadahan air dan penempatan baharu orang asli. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan, Zulqarnain Zakaria.

Dalam pada itu, hasil tinjauan mendapati, syarikat yang menguruskan perlombongan terbabit mula beroperasi sejak tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil siasatan mendapati, syarikat berkenaan mempunyai lesen daripada kerajaan negeri sehingga tahun 2023.

"Namun, tempoh kebenaran melakukan operasi melombong yang dikeluarkan kerajaan sudah tamat pada 2017.

"Bagaimanapun, kita lihat banyak peralatan melombong masih berada di lokasi dan kemungkinan mereka masih beroperasi secara haram.

"Dalam kes ini, siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya mereka benar-benar melanggar undang-undang," katanya.