Orang asli Bateq sedia berpindah

Penduduk dibawa ke klinik dengan menaiki van milik Jakoa. (Gambar kecil: Raina)
Penduduk dibawa ke klinik dengan menaiki van milik Jakoa. (Gambar kecil: Raina)
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk orang asli Kampung Kuala Koh di sini sedia berpindah ke lokasi lain yang lebih selamat berikutan penyakit misteri yang melanda perkampungan tersebut.

Malah, penghulu orang asli Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, sejak awal Ramadan lalu, penduduk Kuala Koh sudah mula mengosongkan kediaman mereka dan mencari tempat penginapan baharu.

Buat masa ini, katanya, kesemua penduduk berada di tiga lokasi penempatan yang terletak tiga kilometer dari kediaman asal.

“Di kawasan hutan ini terdapat tiga penempatan. Mereka tidak mahu tinggal di rumah kerana kepanasan dan lebih rela tinggal di hutan. Ada juga yang mengelak menggunakan air di kawasan rumah dan mencari sumber air di kawasan hutan.

“Sekiranya ada lokasi lain yang lebih selamat, mereka semua sedia berpindah. Mereka sudah tidak tahan dan buntu untuk bertindak,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Sebahagian penduduk orang asli Kampung Kuala Koh dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan di Gua Musang, semalam.
Sebahagian penduduk orang asli Kampung Kuala Koh dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan di Gua Musang, semalam.

Semalam, Sinar Harian melaporkan masyarakat orang asli Kampung Kuala Koh di sini menderita penyakit misteri yang meragut nyawa.

Penduduk mendakwa, seramai 13 penduduk orang asli kaum Bateq di sini meninggal dunia sejak Ramadan lalu akibat penyakit misteri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mereka mendakwa kematian itu berpunca daripada sumber air tandak yang digunakan untuk aktiviti seharian.

Sementara itu, Raina berkata, kematian yang tidak diketahui punca utama itu mungkin boleh melenyapkan suku kaum Bateq di daerah ini.

“Jumlah orang Bateq tidak ramai berbanding suku kaum lain di Kelantan. Saya dapat rasakan, sekiranya situasi ini terus berlaku, maka lenyaplah kaum kami diratah penyakit.

“Seorang demi seorang meninggal dunia di depan mata kami. Kami berharap ada jalan penyelesaian kerana kematian ini akan terus berlaku jika tidak ada tindakan sewajarnya,” katanya.