Bayi, ibu dalam pantang dipindahkan

Juliana memangku cucu lelakinya yang baru berusia 21 hari ketika ditemui di pusat pemindahan. Gambar kanan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu seorang kanak-kanak keluar dari kawasan rumah yang dinaiki air.
Juliana memangku cucu lelakinya yang baru berusia 21 hari ketika ditemui di pusat pemindahan. Gambar kanan, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu seorang kanak-kanak keluar dari kawasan rumah yang dinaiki air.
A
A
A

TELUK INTAN - Bayi dan ibu yang masih dalam pantang antara 101 mangsa yang dipindahkan akibat banjir di tiga kampung di Changkat Jong semalam.

Kesemuanya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong selepas paras air naik dan melimpah ke kediaman penduduk hampir satu meter.

Setakat jam 4 petang tadi, 25 keluarga dari Kampung Batu 7 1/2, Batu 8 dan Batu 9 dipindahkan termasuklah lima bayi, 45 kanak-kanak dan dua kurang upaya (OKU).

Seorang mangsa, Juliana Sabron, 38, berkata, dia terpaksa membawa menantu dan cucu sulung lelakinya yang baru berusia 21 hari berpindah atas faktor keselamatan.

Menurutnya, kediamannya di Kampung Batu 9 paling teruk terjejas kerana berada di kawasan lebih rendah mengakibatkan paras air naik lebih cepat.

"Sejak jam 7 pagi semalam air dah memenuhi laman rumah, tak lama selepas itu jalan keluar pun dah tertutup, air naik sampai paras pinggang.

"Keadaan memang kelam kabut dan saya hanya ingat nak selamatkan cucu dan menantu yang masih berpantang saja, bila bantuan sampai kami terus dibawa ke pusat pemindahan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Keadaan banjir di penempatan penduduk akibat limpahan Sungai Bidor.
Keadaan banjir di penempatan penduduk akibat limpahan Sungai Bidor.

Juliana berkata, walaupun reda dengan kejadian itu, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan sambutan Aidilfitri yang masih disambut meriah di kebanyakan tempat.

"Ikut perancangan kami nak beraya rumah saudara mara di Bagan Datuk dan Bidor, tetapi bila jadi macam ni, nak kemas rumah sahajalah," katanya.

Maliza Mat Darus, 34, pula berkata, dia mengambil keputusan tinggal di pusat pemindahan kerana khuatir dengan keselamatan tujuh anak terutama bayi lelakinya yang berusia 3 bulan.

Dia tidak dapat menyembunyikan rasa bimbang setiap kali melihat paras air sungai naik secara mendadak apatah lagi rumahnya berada hampir dengan sungai.

"Sebelum ini kalau hujan lebat pun, kami sekeluarga masih bertahan lagi tinggal di rumah, tapi kali ini, kami nekad ikut saranan pihak berkuasa.

"Ini kali pertama kami sekeluarga beraya di pusat pemindahan. Rasa tertekan sangat sebab penat raya pun tak habis lagi, ini penat kemas rumah lagi," katanya.

Asmah
Asmah

Seorang lagi mangsa, Asmah Din, 63, yang tinggal berdua bersama suami memang sudah menjangkakan banjir berlaku memandangkan hujan lebat di kawasan itu sudah berlarutan sejak lima hari lalu.

"Bangun pagi semalam saja air dah paras lutut, motosikal yang diletakkan kat luar pun nak tenggelam dah. Makcik dengan pakcik tak sempat nak buat apa, cuma duduk dalam rumah saja tunggu bantuan sampai.

"Memang selalu banjir di kawasan ini, tapi ini kali pertama berpindah ketika Syawal," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Hilir Perak berkata, pusat pemindahan di SK Changkat Jong dibuka pada jam 6 petang semalam.

"Hujan lebat selama beberapa jam sejak hari terakhir puasa menyebabkan rumah penduduk yang terletak di kawasan rendah mula dinaiki air.

"Keadaan bertambah buruk apabila paras air di Sungai Bidor meningkat dan melimpah menyebabkan arahan berpindah dikeluarkan demi keselamatan penduduk," katanya.