Pelantikan Latheefa muktamad: PM

Seorang kanak-kanak bersalaman dengan Dr Mahathir sambil diperhatikan Dr Siti Hasmah dan Mukhriz pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah dan keluarga di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Seorang kanak-kanak bersalaman dengan Dr Mahathir sambil diperhatikan Dr Siti Hasmah dan Mukhriz pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah dan keluarga di Seri Mentaloon, di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah muktamad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelantikan untuk Latheefa memegang jawatan terbabit juga telah diputuskan sewajarnya.

"Pelantikannya telah diputuskan dan muktamad. Takkanlah saya nak tarik pula lantikan itu terhadap beliau.

"Nanti, orang kata saya buat U-turn pula," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah dan keluarga di Seri Mentaloon, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada lantikan Latheefa adalah muktamad.

Mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta beliau memperjelaskan pelantikan Latheefa itu, Dr Mahathir berkata, tiada apa yang perlu dijelaskan.

"Penjelasan apa, tiada masalah. Saya telah lantik banyak pegawai, banyak orang dan ini salah satu daripada pegawai terbabit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, ketika mengulas hubungan beliau dengan Anwar, Dr Mahathir menjelaskan yang mereka sangat baik.

"Dia berhak tanya dan saya berhak jawab," katanya yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua.

Terdahulu, hampir 30,000 orang awam memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah bermula seawal jam 11 pagi tadi.

Sebelum ini, berkuat kuasa 1 Jun, Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan kontrak perkhidmatan beliau.

Bagaimanapun, lantikan beliau yang merupakan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty telah mencetuskan kontroversi.