'Saya tak mahu meminta-minta'

Mohd Fauzan (kanan) melawat Saloma (kiri) dan anak-anaknya di rumah.
Mohd Fauzan (kanan) melawat Saloma (kiri) dan anak-anaknya di rumah.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kehidupan serba kekurangan bukan alasan seorang ibu tunggal di Batu 9 Jalan Mohamad Jambi 3, Kampung Mawai Baru di sini menjadi seorang yang meminta-minta untuk membesarkan tiga anaknya.

Menetap di rumah pondok, menggunakan bateri solar untuk pencahayaan di rumah dan menggunakan air perigi untuk kelangsungan hidup itulah yang realiti kehidupan Saloma Mohamad Said, 49, dan anak-anaknya.

Bagi Saloma selagi kudratnya masih mampu, dia akan berusaha sehabis daya untuk memberi makan anak-anaknya meskipun hanya berlaukkan telur.

Menurutnya, dengan hasil tanaman serai diusahakan di depan rumah digunakan untuk menyara anak-anak selain bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 yang diterima.

"Saya sudah duduk di sini sejak 12 tahun lalu selepas berpisah dengan suami. Kami anak beranak tinggal di sini. Rumah ini kawan saya yang bantu buatkan di atas tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Inilah yang menjadi tempat berteduh kami anak beranak sehingga kini. Kami bersama-sama gali telaga untuk mendapatkan bekalan air.

"Meskipun hidup susah saya lebih suka untuk usahakan sendiri tanpa meminta-minta orang. Jika tidak ada beras di rumah saya akan keluar jual tanaman kepada orang, dapat duit saya beli beras untuk anak-anak," katanya kepada Sinar Harian.

Saloma berkata, anak-anaknya, Mohamad Fairullah Abdullah, 18; Mohamad Feqree, 14, dan Nur Farah Fatin, 12, tidak pernah merungut dengan kehidupan mereka.

Artikel Berkaitan:

Air telaga yang digunakan keluarga tersebut sejak 12 tahun lalu.
Air telaga yang digunakan keluarga tersebut sejak 12 tahun lalu.

Katanya, jika tiada lauk anak-anak akan membantunya memancing ikan untuk dijadikan sajian mereka.

"Rumah juga tiada kemudahan televisyen dan setiap kali anak mahu menonton rancangan televisyen mereka akan menumpang di rumah rakan berhampiran. "Meskipun kehidupan kami tidak sempurna seperti orang lain namun didikan anak-anak amat diutamakan," katanya.

Menurutnya, anak sulungnya, Mohamad Fairullah merupakan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) namun tidak meneruskan pengajian sementara Mohamad Feqree bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar.

"Anak bongsu, Nur Farah Fatin hanya bersekolah ketika di tahun dua sebab saya tidak ada kewangan mencukupi untuk sekolahkannya dari awal.

"Masa saya daftarkan Mohamad Feqree di sekolah ada cikgu bertanya tentang Nur Farah yang tidak bersekolah kemudian cikgu tersebut bela dia dan kini dia menetap dengan cikgu tersebut di Bandar Penawar, apabila cuti baru pulang ke rumah.

"Saya pesan pada anak-anak walau susah macam mana pun kena belajar sungguh-sungguh sebab kita tak tahu masa depan kita macam mana. Syukur anak-anak belajar dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Ramadan kali ini ramai pihak yang tampil memberikan bantuan yang dianggap sebagai rezeki anak-anaknya termasuklah dari Majlis Belia Daerah (MBD) Kota Tinggi.

Pengerusi MBD Kota Tinggi, Mohd Fauzan Sebalas berkata, pihaknya sedia membantu anak sulung Saloma untuk melanjutkan pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar.

"Saya dimaklumkan anak sulung Saloma minat seni kulinari sebab kami difahamkan sekarang dia membantu pakciknya menjual burger untuk membantu ibunya. "Jadi kita akan cuba bantunya agar dia memperoleh kemahiran sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan ibu keluarga dengan ilmu dipelajari," katanya.