Kurang sihat bukan alasan tak beri aksi padu

Satu pingat perak dan satu pingat gangsa disumbangkan atlet petanque negara pada menerusi acara Mixed Triples pada Khamis.
Satu pingat perak dan satu pingat gangsa disumbangkan atlet petanque negara pada menerusi acara Mixed Triples pada Khamis.
A
A
A

SKUAD petanque negara menampilkan aksi membanggakan apabila meraih satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara triples campuran pada Sukan SEA Kemboja 2023 di Kompleks Petanque Olimpik, Phnom Penh pada Khamis.

Biarpun majoriti pemain negara yang beraksi dalam acara tersebut kurang sihat, ia tidak melemahkan semangat mereka untuk menyumbangkan pingat kepada kontinjen Malaysia.

Gandingan Nur Thahira Tasnim Abdul Aziz, Sharifah Afiqah Farzana Syed Ali dan Mohamad Muiz Ezham Mohd Rizan meraih pingat perak dalam acara campuran dua pemain wanita dan seorang lelaki, selepas tumpas 6-13 kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Sementara trio dibarisi Jasnina Jasmine Johan Johnson, Amirol Mukminin Mohd Dali dan Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom memenangi pingat gangsa bagi kategori campuran dua pemain lelaki dan seorang wanita, selepas tumpas 8-13 kepada Laos di peringkat separuh akhir.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan skuad negara, Maya Heng berkata, dia bangga dengan semangat juang yang ditampilkan pemain negara walaupun mereka tidak berada dalam keadaan terbaik.

Katanya, kecuali Nur Thahira Tasnim dan Akhtar Shauqi, kesemua pemain mengalami sakit tekak dan deman sejak semalam.

"Jadi pasukan perubatan ISN (Institut Sukan Negara) terpaksa memberikan rawatan dan ubat malam semalam. Saya benar-benar berterima kasih kepada pemain dan jurulatih yang memberikan sepenuh komitmen dan berjaya memenangi pingat," katanya.

Selain itu, beliau yang juga Setiausaha Kehormat Persekutuan Sukan Boules Malaysia berkata pencapaian membanggakan skuad negara di temasya kali ini kerana mendapat sokongan penuh daripada badan induk sukan itu yang memilih pemain terbaik daripada seluruh negara bagi mewakili Malaysia.

Ahad lalu, atlet petanque Saiful Bahri Musmin menyumbangkan pingat emas keenam buat negara dalam acara singles lelaki. - Bernama