Elak jadi mangsa jenayah di musim perayaan

Mohamad Noor Yusof Ali
Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Tingkah laku dan situasi ketika musim perayaan boleh mengundang pelbagai kejadian jenayah.

Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati dan berwaspada walau dalam apa jua keadaan bagi mengelak menjadi mangsa jenayah termasuk samun, ragut, kecurian dan banyak lagi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner, Mohamad Noor Yusof Ali berkata, masyarakat perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mewujudkan masyarakat yang prihatin.

Menurutnya, kejadian jenayah berlaku tidak mengira tempat, masa dan usia, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan.

"Bagi yang meninggalkan rumah untuk pulang beraya di kampung pastikan maklum kepada pihak polis.

"Sudah menjadi modus operandi penjenayah untuk bertindak sewaktu penghuni tiada di rumah. Lakukan langkah pencegahan dan lebih baik sekiranya memasang sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhemah bagi mengelak kemalangan dan kejadian tidak diingini.

"Musim perayaan kerap berlaku musibah kerana pengguna di jalan raya lebih ramai," katanya.

Artikel Berkaitan: