PMKS lebih berhati-hati dalam kenaikan gaji - MEF

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Syed Hussain
Laporan muka depan akhbar Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Syed Hussain
A
A
A

SHAH ALAM - Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berpandangan bahawa syarikat perniagaan terutama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan lebih berhati-hati dalam meningkatkan perbelanjaan gaji kerana ia mempunyai kesan jangka masa panjang.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kebanyakan syarikat terutamanya PMKS berada dalam keadaan ‘survival mode’ yang akan berhemah berbelanja termasuklah pemberian kenaikan gaji.

“Kebanyakan syarikat memberi peluang pekerja untuk meningkatkan pendapatan melalui amalan di tempat kerja yang mana ia lebih fleksibel seperti formula ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak (pekerja dan majikan).

“Kerajaan sepatutnya membantu PMKS terutama perusahaan mikro supaya dapat bangkit untuk mengekalkan perniagaan dan bukannya memperkenalkan dasar yang akan menambah beban kepada majikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan syarikat di Malaysia dijangka memperuntukkan bajet gaji yang lebih tinggi pada 2023, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh keadaan pasaran buruh yang kompetitif dan tekanan inflasi yang didorong oleh kenaikan kos sara hidup, menurut syarikat penasihat, broker dan penyelesaian global, WTW.

Berdasarkan Laporan Perancangan Bajet Gaji 2022, WTW memaklumkan organisasi di Malaysia diunjur meningkatkan belanjawan mereka untuk gaji pekerja sebanyak lima peratus pada tahun ini.

Sementara itu, Syed Hussain berkata, kerajaan perlu menyokong usaha PMKS untuk berinovasi, menambah baik proses pendigitalan dan berkembang ke pasaran baharu supaya dapat meningkatkan sumbangan pembangunan terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Tambah beliau lagi, insentif cukai juga perlu dipertingkat kepada PMKS yang menggunakan teknologi canggih dalam memastikan daya saing dan peningkatan produktiviti.

Dalam pada itu, Syed Hussain menjelaskan kebanyakan peniaga memerlukan banyak sokongan kewangan daripada kerajaan seperti pinjaman yang lebih murah sebagai modal kerja untuk membina semula perniagaan.

“Antara insentif adalah mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih rendah dan wang tunai atau geran sekali gus kepada perniagaan.

“Bukan itu sahaja, lebih banyak bantuan perniagaan diperlukan seperti subsidi sewa premis milik kerajaan dan agensinya serta subsidi utiliti,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan berdasarkan Laporan Gaji Eksekutif dan Bukan Eksekutif MEF 2022 bahawa 75 peratus majikan akan beri kenaikan gaji kepada pekerja eksekutif dan bukan eksekutif pada tahun 2023.

Jelas beliau, dari segi unjuran kenaikan gaji 2023, tinjauan menunjukkan kenaikan sebanyak 5.44 peratus bagi eksekutif manakala bukan eksekutif adalah 5.43 peratus.

“Perniagaan yang dijangka memberi kenaikan gaji tinggi kepada eksekutif adalah perusahaan teknologi maklumat dan komunikasi, industri bukan logam atau galian dan farmaseutikal.

“Bagi kategori bukan eksekutif, industri bukan logam atau galian menawarkan kenaikan gaji yang ketara termasuklah logistik dan pergudangan serta farmaseutikal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuepacs mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

ARTIKEL BERKAITAN:Bajet gaji untuk pekerja diunjur meningkat pada 2023 - WTW