Sultan Pahang ambil maklum cadangan mewujudkan surau Jumaat di pusat membeli-belah-Mufti

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.
A
A
A

KUANTAN- Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berhubung cadangan mewujudkan surau atau musola Jumaat di pusat membeli-belah di seluruh negara.

Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim berkata, Al-Sultan Abdullah mengambil maklum perkara tersebut dan bertitah MUIP sebagai pihak berkuasa mewakili Baginda sebagai penguasa berkaitan masjid atau surau yang terletak di bawah senarai negeri selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Baginda Sultan Pahang turut memperkenan penegasan Jabatan Mufti Negeri Pahang bahawa syarat sah solat Jumaat mengikut Mazhab Syafi'i.

"Ia merangkumi enam perkara utama iaitu didirikan solat Jumaat dalam waktu Zohor secara berjemaah sekurang-kurangnya 40 jemaah (iaitu lelaki mukallaf dan bertaraf mastautin)didahului dua khutbah, dan didirikan di satu tempat atau bangunan yang dikhususkan.

"Tidak boleh ada pertembungan solat Jumaat di kawasan berhampiran kecuali jika ada kesukaran yang pasti dan akan diputuskan Mufti Negeri Pahang dan disembahkan untuk perkenan Baginda," katanya melalui kenyataan di sini.

Dr Asmadi juga berkata, Baginda Sultan Pahang mengambil maklum susun atur masjid di Pahang telah mengambil kira kewujudan masjid dalam pusat kemasyarakatan.

"Titah Baginda, masjid atau surau kebenaran Jumaat (SKJ) lebih sesuai diimarahkan seperti Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Bandar Kuantan; Masjid Tepian Putra di kawasan Malay Town dan Kuantan City Mall; Masjid Bandaraya (yang akan dibuka) dan Masjid Al-Shafie di Kota SAS di sini.

"Jabatan Mufti Negeri Pahang bersama MUIP menjunjung Sultan Pahang untuk sentiasa memartabatkan institusi masjid dan surau di negeri ini," Ujar Dr Asmadi.

Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memaklumkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Ketetapan itu berdasarkan faktor sekiranya surau atau musala di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, perkara itu akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum ini mengalu-alukan negeri di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif solat Jumaat di pusat beli-belah, susulan sambutan positif terhadap pelaksanaannya di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.

Pelaksanaan itu ketika ini dimulakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!