Wanita maut ditetak, dua cedera

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kejadian tetak di sebuah stor penyimpanan barangan sejuk beku di Tingkat Selamat 2, di sini, petang tadi.

Mangsa yang maut merupakan pekerja syarikat tersebut dipercayai ditetak oleh seorang lelaki warga asing di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa yang maut ditetak bersama dua individu lain oleh seorang lelaki dipercayai pekerja di syarikat berkenaan.

"Siasatan awal dijalankan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang di bilik sejuk di kilang sejuk beku tersebut. Suspek yang merupakan pekerja kilang tersebut telah menyerang ketiga mangsa.

"Mangsa berumur lingkungan 40-an bersama dua lagi individu berusia 14 dan 18 tahun dipercayai ditetak oleh suspek dalam kejadian tersebut," katanya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, tangan dan badan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah, manakala dua individu lain turut sama mengalami kecederaan di bahagian badan, mangsa bagaimanapun meninggal dunia di hospital.

"Kedua mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian.

"Motif dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan, pihak polis juga telah menemukan sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek merupakan pekerja di syarikat tersebut, suspek berusia 31 tahun dan bekerja di syarikat ini selama setahun, usaha memburu suspek sedang giat dijalankan," katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.